SEPANG: Sejumlah 59 penerbangan syarikat AirAsia laluan ke Sabah dan Sarawak dibatalkan hari ini susulan impak yang tercetus akibat letusan Gunung Ruang di Sulawesi, Indonesia.
Difahamkan, pembatalan penerbangan pada hari ini bukan sahaja melibatkan laluan antara Kuala Lumpur ke destinasi Sabah dan Sarawak, namun turut meliputi laluan antarabangsa seperti Singapura, Shenzen, Hong Kong dan Taipei.
Antara laluan lain terjejas ialah Kuala Lumpur- Kota Kinabalu yang sepatutnya berlepas pada pukul 7.15 pagi tadi selain Kuala Lumpur- Tawau (7.20 pagi) dan Penang- Kota Kinabalu (10.15 pagi).
Selain itu, laluan ke destinasi seperti Sandakan, Kuching, Miri serta Bintulu juga turut terjejas.
Susulan itu, AirAsia dalam satu kenyataan berkata, semua penumpang terjejas dinasihatkan untuk menyemak status penerbangan terkini mereka di airasia.com/flightstatus.
“AirAsia telah memaklumkan semua tetamu yang terjejas. Tetamu yang melancong ke atau dari destinasi yang terlibat digalakkan untuk menyemak e-mel dan telefon bimbit berdaftar mereka untuk pemberitahuan pembatalan.
“Tetamu AirAsia yang melakukan perjalanan ke atau dari destinasi yang terjejas amat digalakkan untuk menyemak status penerbangan terkini mereka di airasia.com/flightstatus,” katanya hari ini.
Semalam, sebanyak 40 penerbangan AirAsia bagi laluan ke Sabah dan Sarawak disambung semula selepas dibatalkan ekoran letusan gunung berapi itu.
Penerbangan pertama dibuat pada pukul 7.05 malam semalam melibatkan laluan Kuala Lumpur- Bintulu, seterusnya diikuti oleh destinasi Kuala Lumpur-Sibu dan Johor Bahru- Sibu pada pukul 7.15 malam.
Difahamkan, penerbangan yang dijadualkan disambung semalam turut terjejas hari ini yang ada antaranya telah dibatalkan. – UTUSAN










