45 kes penyakit berkaitan haba direkod - KKM

45 kes penyakit berkaitan haba direkod – KKM

SEBANYAK 45 kes penyakit berkaitan haba dilaporkan sehingga semalam hasil pemantauan dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 45 kes penyakit berkaitan haba dilaporkan sehingga semalam hasil pemantauan dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, jumlah itu melibatkan 33 kes kelesuan haba, 11 kes strok haba dan satu kes kejang haba.

Katanya, kes-kes berkenaan direkodkan di Perak dan Kedah sebanyak lapan kes, Selangor (enam kes); masing-masing lima kes di Johor, Negeri Sembilan dan Pahang; empat kes di Sabah, dua kes di Perlis selain satu kes di Pulau Pinang dan Kelantan.

“Secara kumulatif, dua kes kematian akibat strok haba dilaporkan melibatkan seorang lelaki berumur 22 tahun seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun di Kelantan.

“Pada masa ini, terdapat empat kes yang masih mendapat rawatan di hospital iaitu satu kes strok haba yang dirawat di unit rawatan rapi dan tiga kes dirawat di wad biasa iaitu dua kes strok haba dan satu kes kelesuan haba, manakala kes-kes lain telah sembuh dan didiscaj,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kes yang dirawat di unit rawatan rapi melibatkan seorang lelaki berumur 24 tahun dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Port Dickson sejak 10 Mac lalu dan telah dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, pada 5 April lalu.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan agar semua pihak meneruskan langkah berjaga-jaga dengan memastikan tahap hidrasi yang mencukupi dan mengurangkan aktviti fizikal lasak, serta aktiviti-aktiviti di luar rumah pada musim cuaca panas sekarang.

“Orang awam juga diminta agar mengelakkan diri daripada terdedah kepada cuaca panas, banyakkan berteduh dan berehat lebih kerap semasa cuaca panas, memilih untuk melakukan ziarah pada waktu kurang panas atau waktu malam, terutamanya ketika mengunjungi sanak saudara dan rakan taulan semasa perayaan.

“Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang MetMalaysia (https://www.met.gov.my/iklim/statuscuaca- panas/) dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM (http://www.myhealth.gov.my/cuaca-panas-a-kesihatan),” katanya.

Pada masa ini, satu kawasan direkodkan berada di Tahap Amaran 2 (Gelombang Haba dengan suhu maksimum harian melebihi 37°C hingga 40°C sekurangkurangnya tiga hari berturut-turut) iaitu Pokok Sena, Kedah.

MET Malaysia juga menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35°C masih berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah sehingga pertengahan April ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN