LUMUT: Seramai 399 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terlibat secara langsung dalam urusan pengebumian mangsa nahas helikopter, hari ini dan esok.
Ia melibatkan 295 pegawai dan anggota untuk urusan pengusungan dan kawalan jenazah manakala seramai 82 anggota untuk urusan penggalian dan urusan pusara.
Seramai 22 pegawai termasuk mewakili Jawatankuasa Laksamana turut hadir bagi urusan istiadat pengebumian.
Dalam pada itu, bantuan pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) pula melibatkan 38 pegawai dan anggota Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Pangkalan TLDM Lumut dan KAGAT 2 Briged.
Bantuan 2 Briged yang terdiri daripada Batalion 2 Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Batalion 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) turut meliputi penggunaan masjid untuk solat jenazah.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memberi bantuan berupa penggunaan pesawat C130 bagi membawa keluarga yang terlibat nahas helikopter terhempas dari Kota Kinabalu, Sabah ke Ipoh.
Penggunaan pesawat jenis sama juga digunakan untuk membawa jenazah Mendiang Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia Rohna ke Kuching, Sarawak, hari ini.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memberi bantuan berupa pasukan pengiring ke lokasi pengebumian.
Terdahulu, dua helikopter milik TLDM terhempas semasa raptai perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada pukul 9.32 pagi, semalam.
Nahas itu menyebabkan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita dari Skuadron 502 yang berpangkalan di Lumut dan Skuadron 503 berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah terkorban.
Dua pesawat itu iaitu model Fennec dan HOM AW139 yang berlepas dari Padang Sitiawan kira-kira pukul 9.03 pagi dipercayai bertembung ketika melakukan latihan penerbangan sebelum terhempas.
Pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut manakala AW139 di Stadium TLDM Lumut. – UTUSAN










