2 ahli ‘Geng Bean’ curi motosikal di KL, jual di Seremban tumpas

Dua ahli ‘Geng Bean’ aktif curi motosikal di KL, jual di Seremban tumpas

HABIBI Manjiji menunjukkan motosikal dirampas hasil jenayah Geng Bean dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan ‘Geng Bean’ yang aktif mencuri motosikal dengan penahanan dua lelaki dalam serbuan berasingan sekitar ibu negara dan Seremban, kelmarin.

Penahanan dua lelaki berusia 33 dan 37 tahun itu dibuat pasukan Bahagian Risikan Jenayah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Habibi Majinji berkata, serbuan pertama dijalankan di Keramat dekat sini pada pukul 11.30 pagi dengan menahan seorang lelaki yang juga dalang utama kes berkenaan.

Katanya, polis berjaya merampas empat motosikal pelbagai jenama disyaki curi.

“Hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada serbuan kedua di sebuah bengkel di Jalan Kayu Ara, Seremban, Negeri Sembilan pada jam 3 petang.

“Dalam serbuan itu, pihak polis menahan rakan sejenayah yang juga pemilik bengkel dan mekanik dan menemukan 10 motosikal pelbagai jenama dan enam bongkah enjin motosikal serta satu alat pencanai,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Habibi, siasatan mendapati motosikal yang dirampas itu pernah dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang dan Pahang dengan geng berkenaan disyaki aktif melakukan kegiatan jenayah terbabit sejak beberapa bulan lalu.

Jelas beliau, modus operandi kumpulan itu adalah mensasarkan motosikal berkuasa 150cc.

“Suspek utama bersama dua rakannya yang masih bebas akan mencuri motosikal sebelum dibawa ke bengkel di Seremban untuk dileraikan dan komponen dijual ke pasaran serta pelanggan tetap,” katanya.

Katanya, polis sudah mengenal pasti dan sedang mengesan dua suspek yang masih bebas.

Tambahnya, kedua-dua suspek direman lima hari sehingga esok bagi siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes kecurian motosikal supaya menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×