1,639 notis kepada peniaga Bazar Ramadan - Utusan Malaysia

1,639 notis kepada peniaga Bazar Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mengeluarkan 1,639 notis sepanjang Operasi Kebersihan dan Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan dengan nilai kompaun dianggarkan berjumlah RM 163,900 di atas pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan itu tidak menjalani latihan pengendali makanan, tiada suntikan anti-tifoid dan pakaian pengendali makanan yang tidak mematuhi keperluan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 1,299 lokaliti bazar Ramadan di seluruh negara telah diperiksa bagi tempoh 12 Mac hingga 5 April lalu dengan membabitkan 43,304 premis.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak tiga premis makanan telah diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Bagi pengendali makanan pula, seramai 85,903 pengendali makanan telah diperiksa di mana 94.2 peratus mempunyai suntikan anti-tifoid dan 87.4 peratus telah menghadiri latihan pengendali makanan,” kata kenyataan itu hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan melalui Program Keselamatan dan
Kualiti Makanan telah menjalankan Operasi Kebersihan dan Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan bermula 12 Mac.

Ini bagi memastikan makanan yang disediakan dan dijual adalah selamat dan mematuhi kehendak Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Operasi yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri di seluruh Malaysia ini melibatkan pemeriksaan premis makanan seperti restoran, outlet makanan, gerai serta melibatkan pensampelan makanan.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan memberitahu, pihaknya telah menerima 29 aduan berkaitan makanan yang dijual di Bazar Ramadan seluruh negara sehingga 5 Aprul dengan 20 daripadanya telah selesai disiasat manakala sembilan aduan masih dalam proses siasatan.

“Tindakan perundangan telah diambil serta pendidikan keselamatan makanan telah diberikan kepada pengusaha premis terlibat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN