PETALING JAYA: Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia dan Maybank terus melanjutkan perkongsian strategik bagi memperkukuh usaha pemuliharaan harimau Malaya di Kompleks Hutan Belum-Temengor.
Komitmen sejak 2016 yang diperbaharui itu meliputi tempoh empat tahun bermula tahun ini sehingga 2027 menunjukkan keazaman yang teguh dalam usaha melindungi salah satu spesies ikonik Malaysia itu.
Dalam satu kenyataan, WWF Malaysia berkata, Maybank berjanji menyumbang RM1.55 juta pada tahun pertama pelaksanaan projek yang akan berjalan selama empat tahun.
Katanya, ia sekaligus membolehkan WWF-Malaysia meneruskan kerja yang sedia ada dalam lanskap tersebut.
“Dana ini akan menyokong inisiatif penting yang bertujuan untuk memastikan kesinambungan harimau Malaya dan memupuk harmoni antara hidupan liar dengan komuniti tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Ketua Hal Ehwal Korporat Kumpulan di Maybank, Izlyn Ramli berkata, perjalanan pemuliharaan Maybank setakat ini terikat erat dengan misi yang berteraskan matlamat bagi ‘memanusiakan perkhidmatan kewangan yang telah menghasilkan pencapaian positif berkenaan harimau Malaya.
Justeru, beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank berkata, pembaharuan kerjasama yang dimeterai itu turut meliputi matlamat memperkayakan kehidupan komuniti tempatan untuk generasi akan datang.
“Sementara kita terus menangani konflik yang berterusan antara manusia, pemangsa, dan mangsa, adalah penting bahawa tindakan yang sewajarnya diambil untuk menggalakkan kewujudan bersama serta mengekalkan kepelbagaian biologi dan ekosistem yang seimbang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia. Sophia Lim berkata, kerjasama itu juga bukan hanya soal harimau, tetapi termasuk memulihkan keseimbangan semula jadi dalam hutan.
Katanya, ini kerana haiwan liar amat penting untuk ekosistem, dan ancaman terhadap kewujudan mereka mengganggu keseimbangan ekologi, dan memberi kesan negatif bagi kehidupan dalam jangka panjang.
“Tindakan kita hari ini membentuk hasil hari esok.
“Kita telah mengorak langkah positif yang memberangsangkan dalam perjalanan pemuliharaan harimau kita, melalui sokongan yang kukuh daripada Maybank, yang memainkan peranan penting dalam menjaga masa depan ikon kebangsaan kita.” katanya. –UTUSAN










