MELAKA: Polis menahan seorang lelaki warga emas yang disyaki membuat ugutan bunuh terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkaitan isu kalimah Allah pada stoking.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 68 tahun yang juga pemilik sebuah bengkel kereta ditahan di sekitar Kandang di sini, petang semalam.
Ujarnya, tangkapan dilakukan susulan laporan dibuat seorang lelaki berusia 62 tahun yang mendakwa, suspek telah mengeluarkan kata-kata untuk membunuh Muhamad Akmal.
“Pengadu telah pergi ke bengkel suspek pada 20 Mac lalu sekitar pukul 3 petang dan suspek telah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Muhamad Akmal kerana tindakannya dalam isu KK Mart.
“Suspek telah berkata, ‘Ketua Pemuda UMNO Malaysia banyak lebih-lebih dalam isu KK Mart, satu hari dia pasti kena tembak kasi mati’,” katanya kepada pemberita.
Semalam, Muhamad Akmal hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Jasin untuk membuat laporan polis susulan ugutan bunuh diterimanya.
Laporan dibuat berdasarkan maklumat disampaikan seorang individu yang menghubunginya memaklumkan, bahawa dia terdengar perbualan berkenaan ugutan itu di sebuah premis.
Tambah Christopher, suspek mengaku telah memberitahu kepada pengadu ketidakpuasan hati terhadap kenyataan dikeluarkan Muhamad Akmal mengenai isu KK Mart.
Katanya, bagaimanapun suspek dibebaskan dengan jaminan polis kerana mengalami masalah kesihatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu membuat ugutan jenayah. – UTUSAN










