GEORGE TOWN : Seorang wanita warga emas yang didakwa ‘menceroboh’ sebuah masjid di Batu Feringghi gara-gara tidak berpuas hati dengan suara bilal dan imam masjid itu yang dikatakan mengganggu kawasan kejiranan tersebut kini direman untuk siasatan lanjut.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid ketika dihubungi, di sini.

Menurut Razlam, wanita itu direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
“Wanita itu juga mungkin mempunyai masalah mental dan akan dirujuk kepada pakar psikiatrik (jika perlu),” kata beliau.
Terdahulu, tular beberapa rakaman video yang diambil daripada kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan seorang wanita yang tidak menutup aurat memasuki ruang solat lelaki sebelum mempersoalkan mengenai suara bilal dan imam di Masjid Jamek Ar-Rahman itu yang dikatakan mengganggu kejiranannya.
Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10 malam, 12 Mac lalu ketika jemaah lain sedang menunaikan solat sunat witir selepas solat tarawih.
Sehubungan itu, pihak pengurusan masjid kemudian telah membuat satu laporan polis berhubung insiden tersebut.-UTUSAN










