Bancuh susu campur syabu, wanita tukar pengakuan

Bancuh susu campur syabu, wanita tukar pengakuan

PASANGAN suami isteri yang didakwa menganiaya anak lelaki berusia 16 bulan dengan membancuh susu bercampur syabu, hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi prosiding kes. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Seorang ibu yang didakwa melakukan penganiayaan terhadap anak lelakinya yang berusia 16 bulan dengan membancuh susu bercampur syabu, meminta dibicarakan terhadap pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh wanita berusia 34 tahun itu menukar pengakuan kepada tidak bersalah pada prosiding sebutan di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd. Nor.  Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk fakta kes dan  hukuman. 

Sementara itu, suaminya yang berusia 40 tahun mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula terhadapnya. 

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa bersama-sama melakukan penganiayaan terhadap anak lelaki mereka berusia setahun empat bulan dengan memberi minum susu bercampur dadah Methamphetamine (syabu) sehingga menyebabkan bayi itu mengalami `allegedsympathomimetic drug ingestion’.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit  pangsapuri di Taman Medan di sini pukul 6 petang pada 19 Februari lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama dan  memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dengan  perkembangan baharu itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin kemudian memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu bagi sebutan kes dan laporan perubatan penuh.

Semasa prosiding, peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili tertuduh wanita dan peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili tertuduh lelaki tidak membantah berhubung tarikh baharu bagi sebutan semula kes.

Noor Ruzilawati  menetapkan 10 Mei ini bagi sebutan kes kedua-dua tertuduh selain status laporan perubatan pada tarikh yang sama.

Sebelum ini, mahkamah membenarkan  setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan dan tidak boleh mengganggu saksi-saksi sehingga kes selesai.

Terdahulu, media melaporkan seorang bayi lelaki dikejarkan ke hospital selepas ibunya tersilap membancuh susu bayi menggunakan cecair syabu dalam kejadian di Taman Medan di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×