NILAI: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Zonis menyifatkan skuad pecut berpasukan negara mempunyai masa depan yang cerah untuk menyinar pada masa akan datang.
Fadhil berkata, perkara itu dibuktikan menerusi kejayaan meraih meraih pingat perak pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 yang berlangsung di New Delhi, India baru-baru ini.
Sehubungan itu, Fadhil berkata, usaha lebih gigih perlu dilakukan bagi memastikan skuad pecut berpasukan mampu meraih emas dalam ACC akan datang, sekali gus melakar sejarah buat negara.
“Saya lihat kami boleh pergi jauh lagi. Banyak faktor kami boleh perbaiki lagi dari segi pelumba pertama, kedua dan terakhir.
“Kami tidak memfokuskan latihan berpasukan sebelum ACC 2024 dan lebih kepada latihan individu. Jadi selepas ini, kita akan buat penambahbaikan untuk memastikan kejayaan menjadi milik kami,” katanya ketika ditemui media di Velodrom Nasional, Nilai semalam.
Selain Fadhil, skuad pecut berpasukan negara turut diwakili oleh Mohammad Ridhwan Shahrom dan Umar Hasbullah.
Untuk rekod, trio lelaki negara berjaya mencipta kejutan apabila mengutip pingat perak di ACC 2024 yang berlangsung di New Delhi, India bulan lalu selepas tewas kepada trio Jepun.
Mengulas lanjut, Fadhil berkata, pencapaian meraih perak itu adalah diluar jangkaan kerana sasaran pada mulanya hanya pingat gangsa.
“Bagi saya perak itu adalah satu kejutan dan tidak dijangka. Kami memang hanya mensasarkan pingat gangsa kerana sedar kekuatan yang dimiliki trio China dan Jepun,” katanya.
Untuk rekod, Fadhil, Umar dan Ridwan yang bergandingan sejak Jun 2023 meraih pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan pada ACC 2023 di laman sendiri.-UTUSAN










