Tiga rakan didenda RM2,000 cederakan lelaki - Utusan Malaysia

Tiga rakan didenda RM2,000 cederakan lelaki

LELAKI yang didakwa mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki lain pada Isnin lalu didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Tiga lelaki masing-masing dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki, Isnin lalu.

Tertuduh, K. Lengeswaran, 23; S. Thinakaren, 23, dan M. Akkaskumar, 24, juga berdepan hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tiga rakan itu membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Bagaimanapun, lima rakan tertuduh iaitu, S. Guna Segaran, 21; K. Logen, 22; A. Ignisrao, 26; M. Nagaraj, 23, dan R. Naresh, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan sama dibacakan kepada mereka.

Mengikut kertas pertuduhan, kelapan-lapan lelaki itu didakwa sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang yang mana perhimpunan itu bertujuan memukul dan mendatangkan kecederaan pada tubuh badan V. Arvind Ranair, 28.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi tokong kecil bersebelahan jalan utama Taman Tun Sambanthan, dalam daerah Sungai Siput Utara antara pukul 9.30 hingga 11.15 malam, 11 Mac 2024.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara selama tempoh setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, R. S. Vitthiyeswary memohon hukuman denda maksimum dikenakan terhadap Lengeswaran, Thinakaren dan Akkaskumar dengan mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa hingga terpaksa menerima jahitan di kepala, jari dan bahagian belakang badan.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman denda minimum atas alasan tidak berkemampuan.

Ketiga-tiga tertuduh membayar denda berkenaan.

Sementara itu, bagi lima tertuduh yang tidak mengaku bersalah, Vitthiyeswary mencadangkan jaminan RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan memohon tarikh sebutan baharu untuk lantikan peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 April depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN