Tiga individu ditahan sorok syabu bernilai RM503,520

Sorok syabu bernilai RM503,520 dalam bungkusan makanan segera, tiga ditahan

Zam Halim Jamaluddin (dua dari kiri) menunjukkan bungkusan makanan segera yang mengandungi dadah jenis syabu di IPD Cheras semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Taktik sindiket pengedaran dadah menggunakan bungkusan makanan segera untuk menyembunyikan bahan terlarang terbongkar selepas tiga individu termasuk seorang wanita ditahan secara berasingan pada Sabtu.

Dalam serbuan pada pukul 12 tengah malam itu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 34 tahun di sebuah kedai serbaneka di sebuah kondominium.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, susulan tangkapan itu, kita menahan seorang wanita warga asing berusia 39 tahun di sebuah unit kondominium sama.

“Kita juga merampas dadah syabu anggaran berat 15,735 gram bernilai RM 503,520,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zam Halim berkata, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak lima bulan lalu dan menjadikan kondominium mewah yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah.

Kata beliau, bekalan dadah itu dipercayai diperolehi daripada pengedar tempatan dari utara semenanjung melalui aplikasi Telegram.

“Kemudian dadah itu dibungkus semula dalam bungkusan makanan segera sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar Lembah Klang,” jelasnya.

Tambah beliau, suspek yang ditahan tidak memiliki pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama.

“Ahli sindiket berkenaan menerima upah sebanyak RM15,000 hingga RM20,000 untuk mengedar.

“Siasatan lanjut kesemua suspek tiada rekod jenayah dan urin juga negatif,” ujarnya.

Zam Halim berkata, pihaknya masih mengesan ahli sindiket lain yang terlibat.

“Kesemua individu itu ditahan reman selama lima hari sehingga Rabu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang boleh menghubungi IPD Cheras di talian 03-92050222 atau hotline Polis Kuala Lumpur, 03-2155999,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN