PETALING JAYA: Penyanyi, Shila Amzah, masih belum terbuka hati memperbaiki hubungan yang keruh bersama ahli keluarganya menjelang lebaran ini.
Penyanyi Patah Seribu itu enggan memikirkan perkara yang membuatnya tertekan kerana khuatir akan memberi kesan buruk kepada kandungan.
“Saya dengan keluarga masih seperti itu, tidak makin baik dan buruk. Cuma, saya ambil nasihat suami untuk fokus sepenuhnya kepada kandungan.
“Saya tidak mahu tertekan, lebih-lebih lagi mengandung di usia 30-an membuatkan saya lebih beremosi. Saya trauma mendengar cerita kandungan kawan-kawan tidak jadi kerana stres.
“Walaupun orang kata ini bulan baik (untuk bermaafan) tapi saya belum terbuka hati. Doakan yang baik-baik, saya pun tak berani nak cakap lebih. Kita tengoklah apa yang bakal berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sejak kemelut isu rumah banglo menjadi hangat Disember lalu, Shila bagaimanapun masih berhubung dengan ahli keluarga menerusi mesej walaupun perbualan begitu terhad.
“Saya terbuka sahaja andai kata raya nanti mereka mahu datang berkunjung ke rumah saya. Saya masih berkomunikasi dengan mereka walaupun sangat jarang.
“Saya juga sudah jalankan tanggungjawab sewajarnya dengan memberikan apa yang termampu setiap bulan.
“Mereka juga menghormati keputusan saya untuk fokus kepada benda yang menjadi keutamaan saya iaitu kandungan,” tambahnya.
Tegasnya, menjauhkan diri daripada perkara toksik dan tidak memikirkan perkara negatif membuatkan juara Anugerah Juara Lagu ke-36 kini menjalani kehidupan yang lebih tenang.
Memasuki usia kandungan tujuh bulan, Shila sudah melakukan 70 peratus persediaan menyambut kelahiran anak kedua.-UTUSAN










