PONTIAN: Majlis Perbandaran Pontian ( MPPn ) tidak membenarkan mercun dijual di bazar Ramadan yang khususnya untuk menjual juadah berbuka puasa sahaja.
Yang Dipertua MPPn, Abd. Razak Ab. Khalid berkata, pihaknya sudah memberikan peringatan kepada para peniaga supaya menghentikan penjualan mercun atau bunga api sebelum tindakan susulan diambil.
Katanya, perniagaan menjual mercun perlu mendapatkan permit khas daripada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan mereka boleh menjalankan perniagaan ditempat yang ditetapkan.
“Kami telah memberikan peringatan kepada mereka supaya tidak lagi menjalankan perniagaan di bazar Ramdan kerana bazar ini tempat menjual makanan dan minuman.
“Lagi pun mereka perlu mendapatkan permit dari pihak polis, manakala peniaga di bazar Ramadan semua dikenakan bayaran tapak sebanyak RM158.00 bagi tempoh sebulan,” katanya selepas membuat pemantauan di Bazar Ramadan Stadium Mini Pontian, disini semalam.
Tambah Abd. Khalid, unit penguatkuasaan MPPn akan menjalankan tindakan susulan di sembilan lokasi bazar Ramadan supaya perniagaan menjual mercun dapat dipantau.
Beliau juga berharap semua peniaga mematuhi peraturan yang dikeluarkan kepada mereka supaya memakai apron, topi, kasut dan berpakaian bersih serta menjaga kualiti makanan yang dijual.
Sementara itu, perkhidmatan QR kod turut disediakan bagi membolehkan orang ramai membuat sebarang aduan mengenai makanan yang dibeli jika terdapat masalah atau melalui email, selain boleh terus datang ke Pejabat Kesihatan Daerah Pontian. –UTUSAN










