Tiada panggilan kecemasan diterima- CAAM

Tiada panggilan kecemasan diterima- CAAM

Helikopter
HELIKOPTER milik Maritim Malaysia yang terhempas di perairan Pulau Angsa, Klang, Selangor. - GAMBAR DARI PEMANCING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menyifatkan pihak terlibat tidak menerima panggilan kecemasan daripada helikopter milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang terhempas di perairan Pulau Angsa, Klang, tadi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Datuk Norazman Mahmud, hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada pukul 9.20 pagi, namun tiada panggilan kecemasan diterima.

“Helikopter berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada pukul 9.10 pagi bagi latihan penerbangan.

“Susulan itu, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta-merta untuk mengenal pasti lokasi helikopter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, CAAM turut menjelaskan bahawa Lembaga Siasatan APMM akan menjalankan siasatan melibatkan insiden helikopter model AW139 itu.

Kapten Norazman berkata, CAAM turut mengesahkan insiden terbabit di mana empat penumpang termasuk juruterbang dilaporkan selamat serta tiada kemalangan jiwa.

“Kesemua mangsa diselamatkan dengan helikopter penyelamat dan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada pukul 10.58 pagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×