Terima tempahan 5,000 nekbat sehari

Terima tempahan 5,000 nekbat sehari

ROKIAH Deraman menunjukkan nekbat yang dihasilkannya di Kampung Pulau Musang, Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pengusaha nekbat tidak menang tangan menyiapkan tempahan kira-kira 5,000 biji kuih tradisio­nal itu pada setiap hari sepanjang Ramadan kali ini.

Rokiah Deraman, 59, dari Pulau Musang di sini berkata, beliau mula membuat nekbat pada pukul 7 pagi dan berakhir kira-kira 12.30 tengah hari dengan bantuan dua pekerja.

Menurutnya, enam anak pe­rem­puannya turut bergilir-gilir membantu sepanjang proses penghasilan nekbat mengikut kelapangan masa yang ada bagi memastikan tempahan dapat disiapkan mengikut waktunya.

“Setiap hari, saya menggunakan 500 biji telur dan 10 kilogram tepung beras untuk menghasilkan nekbat.

“Walaupun ada kenaikan harga barang asas, harga nekbat masih kekal seperti beberapa tahun lalu iaitu RM30 untuk 100 biji,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pulau Musang di sini, semalam.

Beliau yang mula menjual nekbat sejak 20 tahun lalu adalah generasi ketiga pengusaha kuih tradisional yang menjadi buruan umat Islam di Pantai Timur setiap kali Ramadan.

Nekbat yang dihasilkan Rokiah istimewa kerana menggunakan arang, kayu api, tempurung dan sabut kelapa sebagai bahan bakarnya yang memberikan aroma tersendiri untuk nekbat tersebut.

“Alhamdulillah, walaupun kuih ini hanya boleh didapati pada Ramadan, hasil nekbat air tangan saya masih menjadi kege­maran pelanggan.

“Ramai juga orang Terengganu yang tinggal di Lembah Klang membeli nekbat ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×