Terengganu bakal berhadapan cuaca panas - Utusan Malaysia

Terengganu bakal berhadapan cuaca panas

Terengganu cuaca panas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Taburan hujan di Terengganu dijangka berkurangan dengan cuacanya menjadi lebih kering dan panas berikutan fenomena El Nino yang berlaku ketika ini.

Pensyarah Program Sarjana Muda Sains Gunaan (Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti) Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Madya Dr. Chong Ju Lian berkata, sepanjang fenomena itu melanda negara, angin timuran yang biasa bertiup ke arah Malaysia akan menjadi lemah dan boleh bertukar ke arah Lautan Pasifik.

Menurutnya, apabila keadaan itu berlaku, kelembapan di kawasan negara akan berkurangan dan terpindah ke arah lautan Pasifik menyebabkan hujan lebih sukar untuk terbentuk.

“Maka, corak cuaca kita akan menjadi lebih kering dan panas. Sekiranya keadaan kering dan panas ini berterusan dan bertambah serius, bekalan air boleh terjejas.

“Kawasan hutan dan belukar boleh menjadi kering dan berisiko untuk terjadinya kebakaran. Sekiranya hujan lama tidak turun, kualiti udara boleh juga mengalami penurunan kerana hujan yang membersihkan zarah-zarah habuk yang terampai di atmosfera.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan menjaga kesihatan dengan lebih optimum dan jangan sesekali melakukan apa-apa perbuatan yang berisiko terjadinya pembakaran terbuka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, Pusat Ramalan Iklam (CPC) dan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Negara (NOAA) dalam perbincangan diagnostic mereka pada awal bulan lepas memaklumkan mereka mendapati keadaan di Lautan Pasifik Timur dan Timur Tengah sudah menunjukkan tanda-tanda pengakhiran kejadian El Nino.

Oleh itu, mereka menjangkakan keadaan akan kembali kepada situasi biasa di sekitar April hingga Jun dengan kebarangkalian setinggi 79 peratus.

“Saya berpendapat kita tidak perlu berasa terlalu risau terhadap kejadian El Nino ini, kerana sekiranya jangkaan CPC ini tepat, kesan negatif El Nino terhadap Malaysia, termasuklah Terengganu tidak akan lama berlanjutan.

“Dengan persiapan yang mencukupi dan sentiasa mengikuti nasihat-nasihat agensi-agensi kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia, kita sepatutnya tidak akan bermasalah untuk menghadapi dugaan alam semula jadi ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN