GEORGE TOWN : Dua buah bot nelayan tempatan (BNT) bersama 13 kru ditahan kerana melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat lohong di kawasan perairan negeri ini, hari ini.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim SP Nak Rong berkata, kedua-dua BNT itu ditahan pada kedudukan 0.7 kilometer (km) dari barat laut Pulau Tikus, kira-kira pukul 12.10 tengah malam tadi.
“Pusat Operasi Maritim (Pusop) telah menerima aduan awam sekitar pukul 11 pagi semalam berkaitan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat lohong di kawasan berkenaan.
“Bertindak atas aduan, bot peronda yang dalam perintah Operasi Khas Pagar Laut 1/2024 telah diatur gerak ke lokasi berkenaan bagi memantau keadaan aktiviti perikanan sebagaimana yang dilaporkan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, bot penguatkuasa kemudiannya telah berjaya mengesan dua buah BNT berada di kawasan berkenaan.
“Terdapat 13 lelaki dalam lingkungan usia 22 hingga 52 tahun berada di atas bot terbabit sedang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat lohong.
“Daripada jumlah tersebut, seramai enam kru warga tempatan berada di bot pertama, manakala tujuh orang kru warga tempatan di bot kedua,” katanya.
Tambah beliau, kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 di bawah Seksyen 8(b) melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak didaftarkan di dalam buku lesen (pukat lohong).
“Maritim Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh komuniti maritim bagi membanteras aktiviti menangkap ikan yang menyalahi undang-undang.
“Orang ramai diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut. Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.-UTUSAN










