ALOR SETAR: Sebuah syarikat pengeluar sarung tangan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kulim, dekat sini selepas didapati bersalah melepaskan efluen perindustrian melebihi had ke dalam longkang awam, hari ini.
Hakim Mirza Mohammad menjatuhkan hukuman itu selepas pengurus syarikat yang mewakili syarikat berkenaan selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pasukan penguatkuasa yang menjalankan lawatan penguatkuasaan Akta Alam Sekeliling 1974 pada 23 Mei 2023 telah mendapati syarikat berkenaan melepaskan efluen ke dalam longkang awam.
“Pada pukul 9 hingga 10.25 pagi, syarikat yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Padang Meha, Padang Serai itu telah didapati melepaskan efluen perindustrian yang kandungan Keperluan Oksigen Kimia (COD) mempunyai kepekatan sebanyak 1,280 miligram seliter (mg/L) melebihi had 80mg/L.
“Bagi kesalahan itu, syarikat berkenaan didakwa mengikut Peraturan 12(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 32,” katanya.
Beliau berkata, persampelan efluen perindustrian yang keluar dari Takat Pelepasan Terakhir Sistem Pengolahan Perindustrian Effluen (SPEP) milik syarikat itu telah dilakukan oleh pegawai JAS Cawangan Kulim.
“Ia bagi memastikan efluen yang dilepaskan mematuhi had yang ditetapkan di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.
Katanya, syarikat itu juga pernah disabitkan di Mahkamah Kulim dengan hukuman denda RM10,000 bagi kesalahan di bawah Peraturan 4(2) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 pada 12 Oktober 2021.
Kesalahan yang dilakukan adalah dengan melakukan perubahan terhadapan SPEP tanpa mengemukakan pemberitahuan bertulis kepada JAS. -UTUSAN










