SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada empat anak syarikat kerajaan negeri berjumlah RM10.8 juta.
Zakat tersebut diterima daripada wakil Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan anak-anak syarikatnya iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ahmad Fariz Hasaan berjumlah RM5.06 juta yang mendahului senarai penyerahan.
Kemudian ia diikuti oleh Kumpulan Worldwide Holdings Berhad yang diwakili CEO, Datin Norazlina Zakaria yang menyerahkan zakat perniagaannya sebanyak RM2.82 juta.
Sementara Menteri Besar (Pemerbadanan) (MBI) pula diwakili CEO, Saipolyazan Md. Yusop menyerahkan bayaran sebanyak RM1.9 juta, manakala CEO Pertubuhan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi menyerahkan RM1 juta.
Penyerahan zakat perniagaan itu diadakan pada semalam sempena Sambutan Jubli Mutiara 30 tahun Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.
Dalam majlis sama, Sultan Saharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf.
LZS dalam maklumannya memberitahu, seramai 118 asnaf fakir, 237 miskin dan 75 asnaf mualaf menerima sumbangan keseluruhan sebanyak RM215,000 dengan masing-masing menerima RM500 setiap seraong.
Dalam pada itu, LZS memberitahu mengutip dan mengagihkan zakat lebih RM10.5 bilion dalam tempoh 30 tahun beroperasi bagi membantu meringankan beban golongan asnaf.
“LZS meningkatkan kutipan zakat di Selangor daripada permulaan RM15.9 juta kepada RM1.07 bilion pada tahun 2022, bersamaan dengan kadar 17.7 peratus peningkatan tahunan.
“Manakala pengagihan zakat yang dilaksanakan sepanjang 30 tahun turut meningkat daripada RM16.3 juta kepada RM1.05 bilion pada tahun 2022 bersamaan dengan kadar 18 peratus peningkatan tahunan,” katanya. – UTUSAN










