Skim Perubatan Madani diteruskan di daerah terpilih - Dzulkefly

Skim Perubatan Madani diteruskan di daerah terpilih – Dzulkefly

DR. DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya akan mengutamakan pelaksanaan Skim Perubatan Madani (SPM) kepada daerah-daerah tertentu berdasarkan kekerapan kesesakan pesakit dan trafik di jabatan kecemasan.

Ia selepas pelaksanaan SPM itu berakhir pada 26 Februari lalu selepas dilancarkan projek perintis pada 15 Jun 2023 bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di hospital, terutamanya di Zon Hijau Jabatan Kecemasan (ED) hospital-hospital KKM. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, lebih 1.57 juta rakyat  dalam kategori B40 di seluruh negara menerima rawatan dari klinik perubatan am swasta  (GP) di bawah program ini sehingga akhir Februari lalu dengan kerajaan menanggung semua kos rawatan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Program yang dikendalikan oleh PHCorp, sebuah entiti korporat yang dimiliki sepenuhnya KKM berjaya mengurangkan kesesakan hospital secara ketara.

“Namun demikian, adalah penting untuk tidak mengabaikan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan KKM sepanjang tempoh pelaksanaan SPM itu,” katanya hari ini.

Bermula 26 Februari lalu, Skim Perubatan Madani menumpukan operasi dengan memberi tumpuan kepada 10 daerah (Fasa 1 SPM) bagi tujuan memantapkan dan memperkemaskan lagi operasi dalam mengurangkan kesesakan pesakit di fasiliti KKM, memandangkan kesesakan di fasiliti KKM daerah lain telah berkurangan.

Menurut Dzulkefly, inisiatif itu antaranya  kebanyakan Klinik Kesihatan (KK) di seluruh Malaysia telah meningkatkan kapasiti perkhidmatan waktu tambahan yang sedia ada, beroperasi sehingga 9.30 malam pada hari biasa dan daripada 9 pagi hingga 1 petang pada hari Sabtu.

Katanya, enam KK yang terpilih turut menyediakan perkhidmatan setengah hari tambahan pada hari Ahad dan cuti umum berdasarkan projek Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR). 

Pada masa sama,  jelas beliau, KKM menambah baik perkhidmatan Jabatan Kecemasan hospital dengan memobilisasikan kakitangan perubatan secara strategik untuk memantapkan tenaga kerja di jabatan kecemasan.

“Sebagai hasil daripada pelbagai strategi ini, lebih daripada 95 peratus hospital berjaya memberikan penjagaan perubatan kepada sekurang-kurangnya 70 peratus pesakit Zon Hijau dalam masa dua jam, memenuhi petunjuk prestasi utama 100 hari yang ditetapkan untuk Menteri Kesihatan,” katanya. 

Dalam hal ini, katanya, PHCorp juga sedang berusaha memastikan peralihan lancar (selepas SPM ditamatkan) dengan  mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat awam dan klinik yang berdaftar berhubung perkara ini dan menyelesaikan tuntutan tertunggak bagi pesakit yang menerima rawatan.

Katanya, penambahbaikan SPM tidak bertujuan mengehadkan akses pesakit kepada penjagaan perubatan tetapi lebih kepada memastikan penggunaan sumber yang optimum untuk meningkatkan keberkesanan dan kemampanan projek tersebut.

“Pemilihan daerah untuk pelaksanaan SPM juga akan mencerminkan pengagihan sumber yang adil, tanpa meminggirkan negeri-negeri separa bandar termasuk di Pantai Timur, utara, dan timur Malaysia. 

“Pesakit-pesakit dengan penyakit ringan di luar daerah yang terpilih masih boleh mendapatkan rawatan di KK dan Zon Hijau hospital, di mana masa menunggu yang panjang biasanya tidak menjadi masalah,” katanya. 

Sejajar dengan aspirasi Kertas Putih Kesihatan (HWP), KKM komited untuk memperkukuhkan kerjasama awam-swasta dalam pelbagai aspek.

Sementara projek ini diperhalusi, jelasnya,  KKM menghargai kerjasama dan persefahaman rakyat Malaysia yang mengiktiraf kepentingan penggunaan sumber yang optimum dalam penjagaan kesihatan dan menyokong dalam memacu transformasi penjagaan kesihatan seiring dengan hala tuju KKM. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini