Siswazah terpaksa kerja walaupun gaji bawah RM2,000

Siswazah terpaksa kerja walaupun gaji bawah RM2,000

siswazah
Tawaran gaji kecil pihak industri terhadap graduan universiti boleh menyebabkan lepasan sekolah tidak berminat menyambung pengajian ke universiti. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan siswazah yang baru menamatkan pengajian terpaksa bekerja walaupun ditawarkan gaji permulaan bawah RM2,000 kerana perlu membayar balik pinjaman pelajaran selain membantu ibu bapa.

Mereka mengakui walaupun dengan jumlah gaji tersebut sukar untuk meneruskan hidup terutama di bandar-bandar besar, tetapi hanya itu pilihan yang ada kerana mereka tidak sanggup menganggur.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas pelajar jurusan Sinematografi, Nur Nabila Mukhtar, 24, berkata, dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan be­kerja di sebuah taska, hidupnya semakin terhimpit.

“Saya tinggal di Kuala Lumpur, sewa bilik bukannya murah ditambah perbelanjaan dapur. Saya juga perlu membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan dua pertiga daripada siswazah baharu didapati kekal ‘terperangkap’ dalam kadar gaji rendah atau kurang daripada RM2,000 walaupun memiliki tahap pendidikan tinggi.

Menurut laporan Mendepani Cabaran: Perkembangan Kerjaya Bakat Mahir Malaysia oleh Institut Kajian Khazanah mendapati pertumbuhan gaji Malaysia adalah lembab dan tidak banyak berubah sejak 10 tahun lalu.

Jelas laporan itu, sebanyak 65.6 peratus siswazah Malaysia mempunyai gaji permulaan kurang daripada RM2,000 pada 2021; 23.5 peratus bagi gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 manakala 10.8 peratus bagi gaji melebihi RM3,000.

Dalam pada itu, bekas pelajar kewartawanan yang kini bekerja sebagai wartawan, Nur Amira Hedzer, 24, berkata, dengan gaji sebanyak RM2,000 memang tidak cukup untuk tinggal di kawasan bandar.

Katanya dia terpaksa membuat dua kerja dalam satu masa dan mencari pelbagai kerja sampingan untuk mendapatkan pendapatan tambahan.

“Saya terpaksa buat kerja sampingan. Dengan harga barang yang serba mahal, gaji RM2,000 memang tidak cukup. Belum lagi kena potong Kumpulang Wang Simpanan Pekerja (KWSP), jelasnya.

Menurut Nur Amina, dengan keadaan sekarang, gaji permulaan yang sesuai untuk lepasan siswazah adalah RM2,500 ke RM3,000.

“Majikan kena faham, ba­nyak komitmen yang kami perlu dibayar, tanggungjawab kepada ibu bapa, bil air dan elek­trik, semua itu memerlukan duit,” katanya.

Seorang lagi bekas pelajar kejuruteraan yang kini bertugas sebagai jurutera produk di kilang swasta, Nur Zafi Nabila, 24, berkata, pelajar lepasan ijazah perlu ditawarkan gaji permulaan antara RM3,000 sehingga RM3,500.

Katanya, jumlah itu sesuai dengan keadaan ekonomi yang semakin meningkat ditambah dengan peningkatan cukai baru-baru ini.

“RM2,000 terlalu sedikit bagi saya, komitmen pada masa kini banyak. Contohnya, saya kena beli kereta untuk memudahkan kerja. Diharap pihak majikan boleh mempertimbangkan gaji yang setimpal dengan kelulusan dan keadaan ekonomi semasa,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN