BUTTERWORTH : Seorang peniaga didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan iaitu menyimpan hidupan liar dilindungi tanpa lesen pada Julai tahun lepas.
Hakim Noor Aini Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap Loh Kok Keong, 46, selepas meneliti kertas pertuduhan serta fakta kes yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyimpan empat ekor ular jenis Ball Python (Python Regius) iaitu sejenis hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen daripada Jabatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan).
Bagi pertuduhan kedua pula, bapa kepada dua anak itu didakwa menyimpan 193 ekor ular jenis sama manakala bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa menyimpan seekor kura-kura jenis Leopard Tortoise serta dua ekor kura-kura jenis Yellow Footed Tortoise.
Sementara itu, mengikut pertuduhan kelima dan keenam, tertuduh didakwa menyimpan kura-kura jenis India Star Tortoise serta dua ekor kura-kura jenis Sulcata Tortoise manakala untuk pertuduhan ketujuh pula, dia didakwa menyimpan dua ekor iguana hijau tanpa lesen yang sah.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kenderaan termasuk dua rumah beralamat di Butterworth, dekat sini antara 16 dan 17 Julai 2023.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 60(1)(a)Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan boleh dihukum dibawah seksyen 60 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646). Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan, Nazaruddin Kamaruddin dan Nadzatul Nattassha Mustapa Kamal, manakala tertuduh diwakili peguam, Foong Choon Kit.
Semasa prosiding, Choon Kit merayu hukuman denda minima dikenakan terhadap anak guamnya kerana tertuduh perlu menyara isteri dan dua anak lelaki mereka yang masih bersekolah selain kedua ibu bapanya yang uzur.
Katanya, anak guamnya juga telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu selain berusaha memohon lesen daripada pihak Perhilitan ketika ini.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran serta pendedahan kepada masyarakat bahawa hidupan liar perlu dilindungi memandangkan ia adalah khazanah alam.
Hakim kemudian menetapkan denda RM70,000 terhadap kesemua pertuduhan dan sekiranya gagal bayar, tertuduh akan dipenjara selama 30 bulan.-UTUSAN










