BUKIT JALIL: Penyanyi, Aina Abdul, mengambil pendekatan lebih berhati-hati sebelum menerima tawaran mengadakan konsert bagi mengelak daripada diperdaya mana-mana pihak.
Katanya, perkara itu susulan pengalamannya yang tidak menerima bayaran setimpal selepas menjayakan sebuah persembahan mega sebalum ini.
“Saya nak lupakan segala yang terjadi dan bergerak ke hadapan bersama pasukan saya mengikut kemampuan kami.
“Saya bersuara bagi pihak diri sendiri kerana banyak desas desus yang saya dengar daripada pihak lain. Apa yang saya katakan adalah jujur dari hati tanpa niat menghetam mana-mana pihak.
“Tujuan saya bercerita hanya untuk berikan kesedaran kepada rakan penyanyi yang mungkin ingin melakukan konsert sendiri,” katanya semasa Majlis Berbuka Puasa bersama Aina Abdul, semalam.
Pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-37 itu pada masa yang sama menasihati rakan artis lain untuk turut cakna mengenai kepentingan dokumen hitam putih membabitkan transaksi bayaran.
“Penyanyi perlu jelas mengenai bayaran dalam arena peniagaan muzik. Ketika ini banyak artis buat konsert dan saya berharap kita akan lebih berani membincangkan isu membabitkan kos dan duit.
“Semua dokumen perlu ada hitam putih. Dalam kes saya, kami tiada hitam putih dan tidak mempunyai bukti untuk menegakkan apa-apa.
“Selain itu ambil tahu semua benda termasuklah pihak yang mewakili saya agar tiada perkara yang disembunyikan,” tambahnya.
Insiden itu bagaimanapun tidak menutup pintu hati penyanyi Jangan Mati Rasa Itu untuk memanjangkan kolaborasi dengan mana-mana pihak.
“Saya tidak serik dan masih perlu bekerjasama banyak pihak. Perkara lalu pun saya tidak akan bawa ke muka pengadilan kerana tiada bukti.
“Cuma saya akan lebih berhati-hati dan ambil tahu semua benda,” katanya lagi.










