Sengsara tiga kali kaki kiri dipotong

Sengsara tiga kali kaki kiri dipotong

MOHD. MOHYI Mohd. Junid menunjukkan kaki kiri dipotong sehingga ke pangkal paha akibat kencing manis dan strok di Felda Kota Gelanggi 4 di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Demikian kesusahan hidup ditanggung peneroka Felda, Mohd. Mohyi Mohd. Junid, 68, apabila tiga kali anggota kaki kirinya terpaksa dipotong sehingga tidak mampu bekerja bagi menyara kehidupan keluarga.

Peneroka Felda Kota Gelanggi 4 di sini, ketika ini hanya me­nerima belanja sara hidup bulanan berjumlah RM500 daripada pihak Felda berikutan tanaman sawit seluas dua hektar di tanah rancangan itu ditebang untuk tanam semula.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Mohyi berkata, dua hektar lagi tanaman sawitnya belum ditebang, tetapi sudah tidak mengeluarkan hasil menyebabkan dia hilang sumber pendapatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, dia dan keluarga kini hanya bergantung kepada wang sara hidup tanam semula sawit untuk berbelanja keperluan dapur, itupun tidak mencukupi.

“Setiap bulan saya serahkan wang RM500 kepada isteri untuk belanja keperluan dapur, bayar bil elektrik dan air. Saya minta isteri beli barang yang perlu sahaja kerana kami tidak mampu.

“Perbelanjaan juga semakin tenat pada bulan Ramadan ini selain keperluan dapur jauh sekali untuk kami membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. Namun isteri dan anak memahami situasi kehidupan kami yang susah,” katanya di Felda Kota Gelanggi 4 di sini semalam.

Menurut Mohd. Mohyi, kehidupan peritnya bermula apabila anggota kaki kirinya dipotong pada paras betis Januari lalu, disusuli dua minggu kemudian bahagian atas lutut pula dipotong dan terakhir awal bulan ini dipotong di bawah pangkal paha di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

“Puncanya penyakit kencing manis dan strok yang saya alami sejak 2014 berlanjutan keadaan semakin parah dikesan pada awal tahun ini menyebabkan doktor menasihatkan anggota berkenaan dipotong.

“Kaki saya dipotong dalam berselang jarak waktu yang singkat berikutan doktor sahkan jangkitan kuman melibatkan bahagian (kaki) kiri berwarna hitam dan kebiruan yang perlu dibedah (potong),” jelasnya.

Mohd. Mohyi berharap kerajaan dan para dermawan yang dapat membantu menyumbangkan sebuah katil hospital dan tongkat kaki empat serta merancang membuat kaki palsu jika ada pihak yang membantu kewangan bagi kemudahan bergerak dalam serta luar rumah.

Orang ramai yang ingin membantu bolehlah menghubungi Mohd. Mohyi menerusi talian 0199275344 atau sumbangan terus ke akaun Maybank bernombor 162049100177. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini