SHAH ALAM: Penyelenggaraan dan naik taraf Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) diarah disiapkan pada tahun ini menerusi peruntukan RM400 juta yang diumum dalam Belanjawan 2024.
Daripada jumlah tersebut sebanyak RM69.5 juta diperuntukan bagi penyelenggaraan kuarters pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menerima jumlah terbanyak selepas Tentera Darat Diraja Malaysia (TDM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah yang diterima TUDM itu, sebanyak RM7 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan sebanyak 185 unit kuarters.
Menurutnya, di peringkat awal penyaluran peruntukan berkenaan, sebanyak 65 rumah mula dibaiki sejak awal tahun ini serta penyelenggaraan terhadap blok bangunan kuarters seperti cat semula dan baik pulih kerosakan lain.
“Itu melibatkan 65 rumah, ada baki dalam 120 lagi dan kita akan pastikan selesai dan siap pada tahun ini juga, di samping kita melihat pada perancangan pembinaan pembinaan baharu yang tidak termasuk dalam bajet RM400 juta itu.
“Kita tahun ini bernasib baik kerana ia disalurkan pada awal tahun, jadi saya percaya ia dapat disempurnakan sebagaimana ikut jadual tahun ini juga. Kalau boleh, semua tahun ini juga mesti selesai, maknanya RM400 juta itu hendaklah di digunakan tahun ini juga,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober tahun lalu memberitahu kerajaan menyediakan RM400 juta untuk menyelenggara dan membaik pulih semua RKAT.
Menurutnya, RM20 juta turut disediakan untuk menaik taraf sistem pembentungan Kem Tentera Darat secara berfasa.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled memaklumkan jumlah peruntukan itu meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu membolehkan lebih banyak rumah dapat dibaiki sekali gus memberi ruang kepada pegawai dan anggota fokus pada tugas mereka.
“Jadi kita beri perhatian yang sangat serius kepada soal ini kerana kita percaya bahawa ia boleh membantu soal kesejahteraan kehidupan anggota-anggota itu sangat penting bagi kita terutama melibatkan soal rumah.
“Kita tahu dengan adanya rumah yang sempurna, maka anggota bukan sahaja boleh membina keluarga yang bahagia, tetapi dalam dia menjalankan tugas, dia tak perlu fikir soal keadaan keselamatan keluarganya apabila mereka bertugas,” ujarnya. – UTUSAN










