PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi bayangan tiada keperluan baginya untuk memanggil Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN).
Dengan nada sindir, Saifuddin berkata, beliau mahu memberi peluang dan ruang seluas-luasnya kepada Muhammad Sanusi untuk membangunkan Greater Kedah.
Menurutnya, walaupun Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) belum pernah diadakan setakat ini, beliau percaya fokus Muhammad Sanusi adalah untuk membangunkan Greater Kedah.
“Saya nak bagi masa seluas-luasnya kepada beliau untuk bangunkan Greater Kedah, dia nak tambak tanah di Langkawi, saya nak bagi ruang dahulu dan saya tidak mahu ganggu dia.
“Biar dia bangunkan Airport (Lapangan Terbang) Kulim, lengkapkan dulu tambun tanah projek ‘reclaim’ dekat Sungai Petani berjumlah RM40 bilion.
“Bagi saya jaga projek kecil sahaja, biar dia jaga projek bilion-bilion. Biar saya selesai loji rawatan air sebab di Kedah saya dapat maklum balas air terputus, loji rawatan air ada lima, di bawah Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, selain Greater Kedah, Muhammad Sanusi juga boleh memberi tumpuan kepada pembinaan litar lumba di Sungai Petani.
“Kemudian dia kata nak buat jambatan darat, saya nak dia tumpukan kepada Greater Kedah, saya biar jaga isu kecil-kecil di Kedah, dengan cara ini saya menghormati tugas dia sebagai Menteri Besar untuk membangunkan Kedah,” katanya.
Saifuddin sebelum ini dilaporkan berkata sikap Muhammad Sanusi tidak menjaga rahsia menjadi antara faktor menyebabkan mesyuarat MPTN Kedah tidak diadakan lebih setahun.
Beliau yang juga pengerusi bersama jawatankuasa itu berkata, Menteri Besar Kedah terbabit tidak sepatutnya merungut mengenai perkara berkenaan selepas beliau didapati sering menggunakan maklumat dalam mesyuarat yang dihadiri sebagai modal berceramah di pentas politik.
Muhammad Sanusi pula dilaporkan berkata, kebimbangan Saifuddin mengenai kebocoran rahsia kerajaan hanyalah alasan ‘mengada-ngada’ dan tidak masuk akal – UTUSAN










