GEORGE TOWN : Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendakwa keputusan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk meluluskan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek Kereta Kabel Bukit Bendera tanpa pameran awam dan ulasan awam adalah salah.
Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, ini kerana, laporan EIA itu adalah di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 yang menetapkan semua aktiviti berkaitan dengan ‘pengangkutan’ seperti yang disenaraikan di dalam Jadual 2 di bawah Perintah tersebut sememangnya memerlukan pameran awam dan ulasan awam.
Jelas Meenakshi, di dalam Jadual 2 itu juga menyatakan bahawa ‘pengangkutan’ telah disenaraikan sebagai aktiviti yang ditetapkan dan ini termasuk ‘pembinaan laluan atau landasan cabang baharu bagi projek pengangkutan laju massa’.
“Jarak laluan kereta kabel ini mungkin hanya 2.7 kilometer (km), tetapi keseluruhan sistem ini akan dibina di atas kawasan alam sekitar yang amat sensitif melibatkan kedua-kedua Bukit Bendera yang merupakan rizab biosfera dan Taman Botani Pulau Pinang.
“Lebih-lebih lagi, projek kereta kabel juga melibatkan cerun-cerun yang curam dan melangkaui 35 darjah kecerunan di sesetengah bahagian yang memerlukan laporan EIA dijalankan di bawah Jadual 2 Perintah tersebut. Oleh itu, ia memerlukan pameran dan ulasan awam.
“Sementara itu, dari sudut pandangan kesan perundangan, alam sekeliling dan sosial pula, ia sepatutnya wajar dan berhemah bagi laporan EIA dibuka kepada orang awam bagi ulasan dan maklum balas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Meenakshi berkata, pihaknya diberitahu bahawa hanya 50 pokok sahaja akan dialihkan bagi projek kereta kabel bernilai RM245 juta dan projek tersebut adalah mesra alam sekeliling.
“Itu mungkin pandangan pihak berkuasa, tetapi, pandangan tersebut (sepatutnya) adalah untuk orang awam bagi membuat penilaian bebas terhadap jaminan ini.
“Dalam hal ini, maksud pandangan kami ialah, undang-undang haruslah dipatuhi dan pameran serta ulasan awam pula adalah mandatori sebelum sebarang kelulusan di bawah undang-undang EIA dibuat bagi suatu pengangkutan laju massa yang terletak di atas cerun yang amat curam di kawasan alam sekitar sensitif.
“Lebih-lebih lagi dalam mendapatkan kelulusan perancangan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Penilaian Kesan Sosial (SIA) ini perlu dijalankan termasuk Penilaian Kesan Trafik (TIA). Namun, tiada satu pun daripadanya didedahkan kepada orang awam,” katanya.
Ujar beliau, Bukit Bendera dan Taman Botani adalah kawasan yang mempunyai kepentingan awam. Justeru, selain daripada perundangan, ia adalah amalan dan tadbir urus yang baik untuk untuk mempamerkan laporan-laporan EIA, SIA dan TIA secara terbuka bagi maklum balas dan ulasan awam.
“Pemberian kelulusan tanpa ketelusan melemahkan keyakinan awam. Oleh itu, kami menggesa JAS dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendedahkan kepada orang awam dokumen-dokumen ini serta tidak memulakan kerja-kerja seterusnya sehingga orang awam diberikan peluang untuk memberikan maklum balas mereka mengenai projek kereta kabel tersebut,” katanya.-UTUSAN










