PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan kesediannya untuk bertemu wakil Human Rights Watch (HRW), susulan dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bahawa berlakunya penderaaan dan kematian di depoh tahanan Jabatan Imigresen (JIM).
Beliau secara tegas turut meminta NGO berkenaan agar menunjukkan bukti termasuk senarai individu yang didakwa meninggal dunia akibat didera semasa berada dalam tahanan seperti diterbitkan menerusi laporan, baru-baru ini.
“Saya nak jemput HRW yang menyediakan laporan itu untuk berjumpa dengan saya sendiri. Kalau boleh, nyatakan tentang dakwaan berlaku penderaan dan kematian itu, nyatakan siapa mangsa, berikan angka yang tepat, berlaku di depoh mana?
“(Depoh) Semenyih, Tuaran atau KLIA? Berapa bilangannya? Bila berlaku?” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Laporan HRW yang dikeluarkan sebelum ini mendakwa bahawa tahanan dalam depoh imigresen diberikan layanan buruk selain berlaku pencabulan hak asasi manusia ke atas mereka.
Ia berdasarkan temubual yang dijalankan terhadap 43 individu yang dikatakan pernah ditahan di depoh imigresen.
Tambah Saifuddin, sekiranya pihak HRW tampil memberikan bukti bahawa benar berlaku penderaan membabitkan individu yang ditahan di depoh terbabit, beliau sendiri akan memulakan tindakan bagi siasatan dijalankan.
“Saya tidak akan berlengah-lengah untuk segera membuat siasatan, isu tentang hak asasi ini bukan soal warga kita, bukan sekadar soal warga asing, prinsip kita adalah mempertahankan hak asasi setiap manusia yang bernyawa, ini pendirian kita,” katanya.
Tegas beliau lagi, sekiranya HRW gagal mengemukakan bukti seperti mana dakwaan di dalam laporan tersebut, ia bermakna setiap pendedahan dibuat hanyalah bersifat khabar angin.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, terdapat sebanyak 19 depoh imigresen di seluruh negara yang menempatkan kira-kira 13,000 pendatang asing tanpa izin.
Jelasnya, kira-kira 1,000 daripada jumlah itu merupakan kanak-kanak dan golongan tersebut ditempatkan di penempatan khas kanak-kanak, Baitul Mahabbah yang dikendalikan oleh imigresen. – UTUSAN










