INDUSTRI drama dan perfileman tempatan menyaksikan penglibatan jaguh-jaguh sukan yang cenderung dalam bidang lakonan.
Selain bekas atlet bina badan, Datuk Malek Noor, turut menjadi pelakon ialah bekas pesilat kebangsaan, Ruzaidi Abdul Rahman yang turut dikenali sebagai Wak Zaidi.
Sebagai ‘orang lama’, pengalaman Ruzaidi dalam bidang lakonan ibarat peribahasa lama hidup banyak dirasa.
Anak jati Klang, Selangor ini sehingga kini telah melakonkan lebih 24 filem, 14 drama dan lapan telefilem.
Minat yang mendalam terhadap bidang itu membuatkan Ruzaidi terus berkeinginan untuk berlakon meskipun usia kini mencecah 60 tahun.
Ruzaidi yang ditemui baru-baru berkata beliau belum mahu bersara, malah masih berkeinginan untuk meneruskan kerjaya lakonannya.
“Saya belum sedia untuk berhenti berlakon. Alhamdulillah, tawaran masih diberikan datang meskipun umur saya sudah mencecah 60 tahun.
“Bahkan saya masih diberi kepercayaan untuk membawa peranan utama. Antaranya dalam Pungut yang merupakan filem saya yang seterusnya.
“Jadi, boleh dikatakan pembabitan saya dalam dunia lakonan masih rancak. Mungkin disebabkan minat yang tersemai sejak dibangku sekolah lagi,” katanya.
Penglibatan Ruzaidi sebagai pelakon bukan untuk meraih populariti. Bahkan seniman yang memulakan karier lakonan sekitar tahun 90- an ini selesa dikenali sebagai pelakon, bukan selebriti.
“Pelakon lama seperti saya tak semua yang berpeluang menerima liputan media. Saya pun tak mahu menonjol.
“Saya tak menolak kalau ada pemberita yang nak mewawancara saya. Cuma saya bukan seniman yang kejar publisiti serta populariti,” ujarnya.

P. RAMLEE, YES MADAM 5 DAN PENGIKTIRAFAN
RUZAIDI dilahirkan dan membesar di Klang, Selangor dalam persekitaran sederhana.
Katanya, minat dalam dunia lakonan timbul sejak beliau kanak-kanak lagi.
“Idola saya ialah Allahyarham Tan Sri. P. Ramlee, Nordin Ahmad dan ramai lagi.
“Saya menyukai lakonan mereka dan selepas selesai kelas al-Quran setiap Jumaat malam Sabtu, saya akan segera pergi ke rumah guru saya untuk menonton filem Melayu disebabkan ketiadaan televisyen di rumah saya.
“Saya juga merupakan peminat filem Bollywood dan Hollywood. Sejak kecil juga saya dibenarkan ibu bapa untuk menonton filem di panggung wayang,” kongsinya.
Memulakan penglibatan sebagai pelakon pada 1988, banyak pengalaman diraih Ruzaidi antaranya ketika menjayakan sebuah filem Hong Kong, Yes Madam 5 yang turut dibintangi Cynthia Khan, Billy Chow dan ramai lagi.
“Saya terima tawaran untuk berlakon filem itu selepas saya selesai menjalani penggambaran drama Mengejar Masa.
“Ia bermula apabila saya dihubungi seorang sahabat yang menawarkan saya peluang berlakon di bawah arahan sutradara Philip.
“Ia satu pengalaman istimewa di mana pelakon diberi layanan istimewa dan tidak dibiarkan menunggu di set penggambaran terlalu lama,” jelasnya.
Selepas lebih 30 tahun, pembabitan Ruzaidi dalam dunia lakonan akhirnya diiktiraf menerusi kemenangan anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama pada 2019.
Kata beliau, kemenangan itu membuatkannya rasa diterima dan dihargai peminat filem dan drama tanah air.
“Anugerah ini adalah satu rezeki yang ditentukan Allah. Saya tak pernah kecewa kerana baru menerimanya selepas 30 tahun berlakon.
“Ada sebab dan kebaikan daripada kemenangan ini. Allah bagi sekarang mungkin kerana saya sudah bersedia dan matang, berbanding menjadi lupa diri kalau terima di usia muda,” katanya lagi.

ATLET SILAT BERGELAR JUARA DUNIA
SEBELUM berlakon, Ruzaidi lebih dahulu bergelar atlet silat olahraga bergelar juara dunia.
Pembabitannya bukan biasa apabila beliau memenangi pingat emas dalam empat kejohanan bertaraf antarabangsa antaranya Sukan SEA 1989 dan kejohanan dunia di Belanda pada 1990.
“Di sebalik kejayaan ada cabaran yang saya lalui. Antaranya latihan 10 jam bermula Subuh yang saya lalui untuk menjadi atlet silat terbaik, selain latihan tekan tubi 1,000 kali setiap hari.
“Saya tinggalkan lapangan silat olahraga pada 1992 atas nasihat Datuk Noordin Darus kerana tidak mahu mengelak mudarat disebabkan overtraining,” kongsinya.
Ilmu persilatan yang dimiliki memberi nilai tambah buat Ruzaidi dalam bidang lakonan.
Setidaknya, beliau bukan sahaja boleh berlakon, malah mampu menjayakan babak pertarungan dalam filem dan drama.
“Kepakaran dalam persilatan memang membantu. Dengan ilmu yang ada, selain menjayakan, saya juga menghasilkan koreografi pertarungan dalam drama dan filem.
“Tetapi, dalam dunia perfileman dan drama, saya tidak kedepankan ilmu persilatan, sebaliknya bakat lakonan yang saya miliki kerana minat itu sudah bercambah lebih awal ketika saya kanak-kanak.
“Namun saya tak nafikan ilmu seni bela diri penting, lebih-lebih lagi untuk pelakon. Untuk lelaki, selalunya ilmu-ilmu ini yang akan menyerlahkan kejantanan pelakon,” kongsinya.










