PETALING JAYA: Rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron yang sebelum ini terkandas di Gaza akibat perang Palestin-Israel berkongsi kejahatan rejim Zionis yang bukan saja menghancurkan dan mencuri barangan di rumah mentuanya, malah mengoyak al-Quran.
Menceritakan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Nurul Ain, 37, berkata, sepanjang operasi ketenteraan tentera Israel terhadap Gaza, kediaman mentuanya di Khan Younis dijadikan kubu rejim tersebut untuk beberapa ketika.
Katanya, perkara itu diketahui abang iparnya selepas pulang melihat keadaan rumah tersebut setelah beberapa bulan terpaksa hidup sebagai pelarian di tanah air sendiri akibat dihalau oleh rejim Zionis sejak awal tahun ini.
“Kami tahu rumah itu dijadikan kubu mereka kerana ada contengan di dinding dalam bahasa Hebrew dengan keadaan rumah yang sudah tunggu masa saja untuk roboh dan kesan tembakan hampir di keseluruhan kediaman tersebut.
“Apa yang paling menyedihkan, mereka bukan saja mencuri dan menghancurkan barangan di rumah itu malah al-Quran pun dikoyak-koyaknya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Nurul Ain, keadaan itu menyedihkan bapa mentuanya sehinggakan lelaki tersebut enggan menjamah makanan selepas melihatnya.
“Selepas melihat rumah yang didiaminya sejak lebih 40 tahun lalu, baba (bapa mentua) enggan makan. Sekarang pun berat badannya sudah turun hampir 10 kilogram. Dia sangat terkesan dengan perkara itu kerana tahu kediaman tersebut sudah tidak boleh diduduki lagi,” katanya. – UTUSAN










