Rugi RM1.2 billion angkara scammer dalam talian

Rugi RM1.2 billion angkara scammer dalam talian

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira RM1.218 bilion kerugian dilaporkan berlaku kerana jenayah penipuan dalam talian tahun lalu dengan melibatkan 34,498 kes.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, berdasarkan statistik pada tahun lalu menunjukkan kes jenayah telekomunikasi merupakan antara kes yang tertinggi iaitu sebanyak 10,348 kes direkodkan dengan kerugian RM352.9 juta.

Menurut beliau, jenayah telekomunikasi itu seperti tipu peraduan khidmat pesanan ringkas (SMS), penyamaran di talian dan tipu panggilan telefon merupakan antara kes tertinggi.

“Dalam isu ini juga Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) berperanan untuk menyelaras tindak balas pantas terhadap penipuan jenayah dalam talian.

“Untuk makluman, sepanjang tahun 2023, sebanyak 6,434 kertas siasatan telah dibuka melalui panggilan NSRC dengan melibatkan jumlah kerugian RM105.4 juta,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Manolan Mohamad mengenai langkah-langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam mengatasi isu scammer atau penipu yang mengakibatkan kerugian dan kehilangan wang dalam akaun simpanan mangsa.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, sebanyak RM17.5 juta berjaya disekat daripada jumlah tersebut sehingga penjenayah tidak berjaya mengeluarkan wang itu.

Jelasnya, sebanyak RM178,000 jumlah sitaan turut dipulangkan semula kepada mangsa penipuan.

“Polis juga melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memerangi jenayah penipuan dalam talian antaranya perkhidmatan portal Semak Mule dan mewujudkan platform media sosial bagi menyampaikan maklumat terkini mengenai jenayah scam kepada masyarakat.

“Sepanjang tahun 2023, sebanyak 1,610 pameran dan 3,727 ceramah berkaitan scam telah dianjurkan bagi memberikan pencerahan serta kesedaran kepada masyarakat mengenai jenayah itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×