MUNGKIN tidak semua memahami, peritnya rindu yang tiada berpenghujung. Biarpun di mata kasar terlihat seolah gembira memeluk bahagia, namun di satu sudut hati, ada rindu yang tertangguh.
Itu perasaan yang ditanggung pelawak dan usahawan, Shuib yang sehingga kini masih menyimpan rindu terhadap Allahyarham isteriya, Siti Sarah Raisuddin. Namun dia tahu, suri hatinya itu kini bahagia di taman syurga.
Namun seperti yang terungkap di awal bicara, tidak semua memahami perasaan itu. Setiap perkongsian Shuib mengenai Allahyarham, pasti ada mulut-mulut belakang yang kurang senang.
Bagi mereka, Shuib sekarang sudah ada isteri baharu, tidak perlu menangis rindu. Hiduplah seperti biasa, tidak perlu lagi meratap hiba. Tetapi, itu hanya kata-kata mereka yang tidak memahami.
“Saya bersyukur dikurniakan wanita seperti Watie sebagai isteri. Dia sangat memahami jika saya kerap bercerita tentang Allahyarham. Dia juga mengidolakan Sarah. Dia suka dengar cerita tentang Sarah.
“Kebelakangan ini, saya rindu dengan Sarah. Rindu dia sangat. Dalam fikiran saya, terngiang-ngiang nyanyian akhirnya sebelum dikejarkan ke hospital. Lagu Kesetiaan itu sentiasa bermain dalam fikiran.
“3 tahun sudah, tetapi rindu itu tidak pernah ada tarikh luput. Watie juga sama, dia suka bercerita tentang Sarah. Dia selalu tanya, saya okay ke? Rindu Sarah ke? Alhamdulillah, Tuhan kurnia yang terbaik,” ujarnya.
Membuka bicara tentang perkongsiannya baru-baru ini, Shuib dalam nada gembira bercampur sebak berkata, buat pertama kalinya, dia dapat melihat wajah Allahyarham Siti Sarah dalam mimpi.
“Sebelum ini saya hanya mimpi terima panggilan daripada Sarah. Tetapi setiap kali saya mahu angkat panggilan telefon itu, saya terjaga daripada tidur. Memang kecewa sangat hati setiap kali bermimpi.
“Tetapi awal Ramadan hari itu, saya dapat melihat arwah dalam mimpi. Dia senyum dekat saya dalam pakaian terakhir seperti dalam video nyanyiannya. Muka dia kecil, memakai telekung putih.
“Bila bangun tidur, Watie ada tanya saya okay ke sebab saya tak bercakap. Tetapi selepas beberapa ketika, saya cerita mimpi Sarah. Seronok Watie mendengar cerita mimpi saya,” ujarnya.
RAMADAN SAYU YANG MEMBAHAGIAKAN
Berkongsi cerita perasaan menyambut Ramadan sebagai suami kepada Watie, Shuib dengan nada gembira menyifatkan tahun ini sebagai antara yang paling bermakna. Sayu tetapi membahagiakan.
“Tahun ini saya dan anak-anak boleh rasakan semula seronoknya berpuasa. Ada yang kejut sahur, pesan berbuka. Ada air tangan isteri yang memasak. Alhamdulillah, macam saya cakap Watie ini ada tangan ajaib.
“Kalau orang kenal saya, memang tahu saya ini suka pajeri nenas. Hari-hari makan pun boleh. Itu juga menu yang arwah selalu masakkan. Sekarang Watie pula. Sama sedap. Lain air tangan tetapi ikhlas dan sedapnya sama,” ujarnya.
Soal persiapan raya pula, kata bekas penyampai radio ini juga, lebaran tahun ini lebih baik dan menarik. Mereka juga sudah menetapkan destinasi raya pertama sementelah, kedua-dua mereka orang Perak.
“Warna? Bagi Watie tentukan. Anak-anak yang seronok. Setiap kali raya, mereka awal-awal sudah tanya; tahun ini raya di mana? Macam mana? Sebab itu kena pelan awal, sebab mereka teruja nak sambut raya.
“Kalau raya, selalunya memang saya request rendang dan kuah kacang. Dua menu ini wajib ada setiap kali raya. Tak lengkap raya saya kalau tak ada. Tahun ini, Watie akan sediakan menu wajib itu,” ujarnya.










