Remaja lelaki 17 tahun antara dua maut nahas motosikal, kereta - Utusan Malaysia

Remaja lelaki 17 tahun antara dua maut nahas motosikal, kereta

KEADAAN kereta Perodua Viva yang terlibat kemalangan mengorbankan dua individu di Menglembu, Ipoh semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun antara dua yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Menglembu Impiana 21, Menglembu di sini semalam.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Nabil Iqmal Abdullah yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 dan penumpang hadapan kereta jenis Perodua Viva, Yean Miew Khuan, 59.

Nahas sekitar pukul 6.43 petang itu turut menyebabkan pemandu kereta berusia 34 tahun luka di bahagian muka, kaki dan tangan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa melanggar bahagian kiri kereta yang sedang membelok ke kanan untuk memasuki simpang.

Katanya, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu dan penumpang kereta yang mengalami kecederaan dibawa segera ke hospital untuk rawatan sebelum seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia di wad kecemasan.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

“Proses bedah siasat akan dijalankan hari ini pada pukul 9 pagi,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN