Rakyat Palestin 100 peratus bergantung bantuan negara lain

Rakyat Palestin 100 peratus bergantung bantuan negara lain

RAKYAT Palestin terpaksa mengikat perut sekiranya tiada bantuan dari negara luar dihantar. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehidupan rakyat Palestin di Gaza kini hampir 100 peratus bergantung kepada bantuan kemanusiaan dari negara luar memandangkan sumber makanan di dalam wilayah tersebut sudah kehabisan stok.

Keadaan tersebut semakin meruncing apabila rejim Zionis sejak kebelakangan ini menyasarkan kawasan-kawasan tumpuan rakyat Palestin mengambil bantuan kemanusiaan yang tiba kepada mereka.

Terbaharu, terdapat dua insiden yang meragut nyawa puluhan rakyat Palestin di Gaza dan mencederakan ratusan lagi apabila rejim Zionis termasuk membedil lokasi pengagihan bantuan milik Malaysia melalui Op Ihsan dan Kuwait.

Dalam serangan membabitkan bantuan kemanusiaan Op Ihsan di kem pelarian Al-Nuseirat, sekurang-kurangnya tujuh sukarelawan maut dibedil manakala puluhan lagi mengalami kecederaan parah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Eksekutif Strategik Perhubungan Awam Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhd. Haikal Luqman Zulkefli berkata, tindakan sedemikian adalah satu bentuk penindasan jelas tentera Israel terhadap rakyat Palestin untuk mendapatkan bantuan makanan di tanah air sendiri.

Menurutnya, tindakan kejam tersebut dilihat seolah-olah ada cubaan untuk menghentikan penghantaran bantuan makanan kepada rakyat Palestin sekali gus menyebabkan kes kebuluran di wilayah tersebut semakin meruncing.

“Mereka kini makan apa sahaja yang ada dan hampir 100 peratus bergantung kepada bantuan kemanusiaan dari negara luar. Jika tiada bantuan yang sampai terpaksalah mereka berlapar.

“Apa yang membimbangkan sekarang adalah jika tindakan Israel itu akan menyebabkan bantuan kemanusiaan terpaksa dihentikan kerana kini keadaan stok makanan di sana sangat kritikal,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kebimbangan pihaknya kini adalah keadaan lebih sejuta kanak-kanak berusia bawah 18 tahun yang masih berada di Gaza tanpa bekalan makanan secukupnya.

“Setakat ini, berdasarkan maklumat yang ada puluhan bayi di Gaza dilaporkan meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan beratus lagi maut akibat kebuluran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN