Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Hari Peringatan Sedunia PPPM 2024 - Utusan Malaysia

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Hari Peringatan Sedunia PPPM 2024

RAJA Zarith Sofiah (tiga dari kanan) berkenan merasmikan majlis penutup sambutan Hari Peringatan Sedunia 2024 Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) peringkat kebangsaan di Dewan 2020, Kangar, Perlis, semalam. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan merasmikan majlis penutup sambutan Hari Peringatan Sedunia 2024 Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) peringkat kebangsaan di Dewan 2020 di sini semalam.

Berangkat sama ke majlis berkenaan, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid; Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Turut hadir pada majlis penutup itu, adalah isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua PPPM, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datuk Yeoh Soo Keng.

Raja Zarith Sofiah bertitah, PPPM boleh menjadi contoh dalam kepimpinan bagi mengekalkan kelestarian alam agar rakyat dapat hidup dalam suasana sempurna dan mendamaikan.

“Sebagai persediaan bagi masa hadapan, perlu dipastikan anak-anak kita terus dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran bersesuaian dalam menangani isu semasa selain cabaran dialami serta masalah mengenai alam sekitar.

“Usaha perlu diteruskan atau dipertingkat sekiranya perlu dalam menerapkan kepada setiap ahli Pandu Puteri untuk belajar dan mempraktikkan kelestarian alam,” titah Raja Zarith Sofiah.

Seterusnya Raja Zarith Sofiah bertitah, pemimpin Pandu Puteri dapat membimbing ahlinya dengan mengikuti program
Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) serta pelbagai lagi yang memberi manfaat bagi membantu membina sahsiah ahli persatuan itu berpandukan kepada nilai-nilai murni.

Titah Raja Zarith Sofiah aktiviti yang dilaksanakan itu dapat membantu dalam melahirkan generasi harapan negara pada masa akan datang.

“Semoga kegiatan persatuan membantu melahirkan ahli-ahli yang mempunyai disiplin tinggi dan akhlak terpuji dalam usaha kita melahirkan generasi berwibawa yang bakal menjadi tonggak kepada kepimpinan negara pada masa hadapan,” titah Raja Zarith Sofiah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN