PETALING JAYA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengalu-alukan rangkaian hotel bertaraf empat dan lima bintang untuk melebarkan sayap pelaburan ke negeri berkenaan.
Baginda bertitah, kehadiran para pelancong yang melebihi empat juta pada tahun lalu menjadikan Perlis merupakan potensi pasaran baharu yang wajar diberikan perhatian dan diterokai secara serius.
“Pada masa yang sama semua kerajaan negeri serta pemain industri pelancongan perlu melipatgandakan usaha dan meningkatkan sinergi dalam membuat persediaan rapi.
“Ia bagi memastikan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang menyasarkan ketibaan seramai 26.1 juta pelancong asing tercapai, sekali gus memberi impak ekonomi yang optimum,” titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Pembukaan ‘March MATTA Fair 2024’ yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Jalan Dutamas 2, Segambut, Kuala Lumpur.
Keberangkatan tiba baginda diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong serta Pengerusi Penganjuran MATTA Fair, Datuk Tan Kok Liang.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan dan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Dr. Yasmin Mahmood. – UTUSAN










