Pulau Pinang pantau rapi keadaan Empangan Air Itam

Pulau Pinang pantau rapi keadaan Empangan Air Itam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri Pulau Pinang memantau dengan rapi situasi yang berlaku di Empangan Air Itam yang kini dikatakan mampu bertahan lebih 30 hari sahaja lagi tanpa hujan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, agensi pembekal air di Pulau Pinang iaitu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga telah mengambil langkah awal sejak Februari lalu bagi mengurangkan pengekstrakan air dari Empangan Air Itam bagi memastikan kapasiti air di empangan tersebut dapat bertahan.

“Kita memang pantau rapi dan tidak menafikan ia (Empangan Air Itam) di bawah paras yang selesa, tetapi, kita harap hujan akan turun dan mengisi semula empangan kita.

“Empangan Air Itam boleh bertahan lebih 30 hari sahaja lagi. Kita juga sudah mengambil langkah (untuk) kurangkan pengekstrakan air daripada empangan. Jika kita tidak ambil langkah ini, mungkin paras empangan berada pada paras kosong,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebelum ini memaklumkan, empat empangan air iaitu di Johor, Pulau Pinang dan Kedah mencatat penurunan simpanan sumber air mentah kepada paras kritikal, setakat semalam, susulan cuaca panas.

Empangan berkenaan ialah Empangan Sembrong Barat di Johor yang kini merekodkan paras 31.65 peratus; Empangan Air Itam di Pulau Pinang (35 peratus); dan Empangan BS Padang Saga (39.67 peratus) serta Empangan Malut (39.90 peratus) di Kedah.

CHOW KON YEOW

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, jumlah keseluruhan akaun pengguna yang mendapat bekalan daripada Empangan Air Itam ialah kira-kira 10,000 akaun.

“Bagaimanapun, ketika ini, hanya 5,000 akaun pengguna sahaja yang masih memperoleh bekalan air dari Empangan Air Itam, manakala 5,000 akaun lagi memperoleh bekalan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua bagi menampung keperluan pengguna di Air Itam,” katanya.

Tambah Kon Yeow, pihaknya juga mungkin tidak akan memohon bantuan daripada Kerajaan Pusat untuk melaksanakan lagi operasi pembenihan awan memandangkan operasi itu sebelum ini tidak dapat membantu mencetuskan hujan di kawasan empangan.

“Kita harap ada hujan semulajadi memandangkan tindakan pembenihan awan (sebelum ini) tidak menjamin hujan turun juga.

“Lazimnya, Pulau Pinang akan mula menerima hujan mulai April, Mei dan Jun. Jadi, kita harap hujan ini akan membantu mengisi semula empangan ke paras yang selesa untuk membawa kita ke musim hujan yang seterusnya iaitu pada September hingga November.

“Ini memang trend hujan semulajadi yang kita saksikan berpuluh tahun di negeri ini, melainkan berlaku perubahan iklim yang membuatkan trend hujan ini berubah,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, pada masa ini juga Pulau Pinang memperoleh bekalan air dari Sungai Muda dan parasnya agak selesa memandangkan ia dikawal oleh dua empangan yang terletak di Kedah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×