GEORGE TOWN : Sistem Pengurusan Aset Jalan (Sistem SPAJa) kini digunakan di Pulau Pinang bagi membolehkan agensi berkaitan melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan raya yang rosak agar lebih sistematik serta komprehensif.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, sistem SPAJa itu dibangunkan secara berfasa bermula pada 2020 melalui projek pencerapan data jalan untuk pendaftaran bagi Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan Kajian Ketahanan Jalan (HDM-4) bagi Jalan-Jalan Negeri di Pulau Pinang.
Katanya, ketika itu, sistem tersebut hanya berasaskan kepada laman sesawang dan perlu menggunakan rangkaian my.gov.net sahaja.
”Sistem SPAJa ini merupakan satu platform yang dibangunkan bagi memantapkan lagi keupayaan agensi teknikal di Pulau Pinang dalam melaksanakan tugas harian untuk menyelenggara jalan-jalan di negeri ini.
”Fungsi sistem SPAJa yang merekodkan kondisi jalan, unjuran kewangan dan pembaikan (HDM-4) serta data-data jalan membolehkan pihak agensi untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang lebih sistematik serta komprehensif.
”Sebagai contoh, data kondisi jalan yang berlubang atau rosak sama ada memerlukan pembaikan kadar paling segera atau sebaliknya akan membantu pihak agensi membuat perancangan pembaikan dengan lebih efektif,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan sistem SPAJa di sini hari ini.
Menurut Zairil, pada 2021 iaitu fasa berikutnya, sistem SPAJa ini telah ditambah baik apabila ia boleh diakses melalui rangkaian luar dan ‘SPAJa mobile’ (versi android) juga telah diperkenalkan kepada agensi.
Katanya, semua koordinat jalan-jalan MARRIS di Pulau Pinang yang telah dicerap dan diplotkan jajaran jalan tersebut telah disimpan di dalam sistem SPAJa dan ia dapat dilayari oleh agensi berkaitan di atas peta menggunakan ‘google basemap’.
”Untuk rekod, sejak sistem SPAJa fasa pertama bagi projek pencerapan data jalan untuk pendaftaran MARRIS dilaksanakan, jumlah peruntukkan MARRIS yang diterima juga telah bertambah.
“Bermula dengan peruntukkan hanya RM183.36 juta pada tahun 2019, kini kerajaan negeri Pulau Pinang telah menerima RM208.77 juta, iaitu peningkatan lebih RM100 juta hasil daripada kerja-kerja cerapan, kemas kini dan pendaftaran jalan-jalan ke dalam sistem MARRIS,” katanya.
Tambahnya, bagi memastikan keselamatan data-data dalam sistem SPAJa ini terjamin, pengkalan data-data bagi sistem SPAJa ini telah ditempatkan di Pusat Data Sektor Awam (PDSA) MAMPU, Kulim, Kedah.
”Sistem SPAJa ini akan digunapakai setiap agensi yang melaksanakan kerja penyenggaraan jalan negeri di Pulau Pinang.
“Antara agensi yang akan menggunakannya ialah Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) (MBPP dan MBSP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT). Semua agensi diberikan akses melalui ID Pengguna dan kata laluan untuk mengakses sistem SPAJa ini,” katanya.-UTUSAN










