Pulau Pinang belum putuskan penggunaan Akta 672

Pulau Pinang belum putuskan penggunaan Akta 672

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri Pulau Pinang masih belum memutuskan mengenai penggunaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 atau Akta 672 setakat ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bagaimanapun perbincangan berkaitan telah dimulakan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai isu berkenaan.

“Wakil Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah memberi taklimat kepada ahli Exco kerajaan negeri beberapa minggu lalu.

“Setakat ini, kami hanya bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara ini tetapi belum memutuskan apa-apa mengenainya (penggunaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 atau Akta 672),” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Pulau Pinang mungkin menjadi negeri kesembilan menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) selepas Selangor yang secara prinsip sudah menyatakan persetujuan mahu mengguna pakai akta itu.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, tujuh negeri telah mengguna pakai akta terbabit, selain Selangor yang sedang dalam fasa mengkaji untuk menerima pakai akta itu apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah secara prinsip menyatakan perkenan untuk menerima pakai akta itu, pada satu sesi menghadap.

Tujuh negeri yang telah mengguna pakai Akta 672 setakat ini ialah Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Akta itu antara lain bertujuan memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawalseliaan perkara berhubungan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap, mampan, efektif serta merancakkan ekonomi kitaran.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, menerusi perbincangan itu juga, kerajaan negeri akan meneliti kelebihan dan butiran lain sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.

Ditanya mengapa Pulau Pinang tidak menerima pakai Akta 672 sebelum ini, jelas Kon Yeow, baru sekarang Kerajaan Pusat memulakan perbincangan dengan kerajaan negeri mengenai perkara itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN