PUTRAJAYA: Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang tidak akan mengganggu kedudukan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu sudah diambil pertimbangan ketika kajian awal dilaksanakan sebelum ini.
Beliau berkata, Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dibuat dan ia sudah tentu mengambil kira kawasan-kawasan sensitif dan bersejarah di negeri itu.
“Segala pertimbangan berkaitan kedudukan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO telah diambil perhatian serius,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Ditanya sama ada cukai kesesakan akan dikenakan apabila projek itu beroperasi, Loke berkata, ia belum diputuskan lagi sebaliknya fokus utama diberikan kepada pembinaan projek terlebih dahulu.
“Kita selesaikan pembinaan dahulu lagipun projek itu lambat lagi siap iaitu sekitar 2030. Jadi, apabila sudah dibina sudah tentu keadaan berubah.
“Setakat ini belum ada perancangan (cukai kesesakan) lagi nanti orang panik pula kerana ada caj dan sebagainya. Kita fokus dulu kepada pembinaan infrastruktur projek ini,” katanya.
Dalam pada itu, Loke berkata, segala proses pengambilan tanah mengambil kira pelbagai pandangan dan telah dilaksanakan sebelum ini.
“Di bawah kerajaan negeri, mereka telah mengenal pasti jajaran tersebut dan meminimakan pengambilan tanah serta tidak melibatkan pengambilan bangunan-bangunan yang banyak.
“Jadi, pengambilan tanah telah pun dikaji dan diputuskan sebelum ini, malah kita (kerajaan) memutuskan untuk kekalkan jajaran itu,” katanya.
Selain itu, Loke berkata, sebagai syarat untuk mengambil alih projek itu, kerajaan mahu projek penambakan pulau dikurangkan kepada sebuah pulau sahaja berbanding tiga buah pulau sebelum ini.
“Kerajaan Persekutuan telah minta supaya hanya hadkan kepada penambakan sebuah pulau sahaja,” katanya. – UTUSAN











