PETALING JAYA: Satu siasatan dijalankan terhadap seorang individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap agama Islam serta tohmahan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam sebuah video dimuat naik di Facebook.
Ini susulan satu laporan polis dibuat pada 9.45 pagi hari ini oleh seorang pengadu yang telah melayari Internet dan terlihat satu video dimuat naik berunsur penghinaan terhadap agama Islam dan tohmahan terhadap PDRM pemilik akaun Facebook GANESPARANnadaraja.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan (KK) atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan.
Katanya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 504 KK kerana berkelakuan mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar atau perkhidmatan.
“Hasil semakan mendapati video tersebut telah dimuat naik pada 23 Mac lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Razarudin, setakat ini terdapat 21 kertas siasatan telah dibuka terhadap individu tersebut yang dipercayai berada di Hamburg, Jerman.
“Pemeriksaan mendapati dia kali terakhir keluar dari negara ini pada 2 November 2017.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya.
Dalam video terbabit, lelaki didakwa mengeluarkan kenyataan yang menghina agama dan PDRM.
Antaranya, PDRM (Pondan Diraja Malaysia) dengan pantas mengambil tindakan terhadap seorang bangsa Cina tiga puluh lima tahun dalam beberapa hari sahaja dan mahkamah perintah tertuduh bersalah hukuman penjara enam bulan RM12,000 denda.
Namun dakwannya, apabila Zakir Naik, Ustaz Nasoha, Firdaus Wong, Zamri Vinoth Kalimuthu menghina, membuli, mengejek agama bukan Islam tiada tindakan diambil.
Dia juga mendakwa institusi Diraja, agama dan isu perkauman cuma berfungsi untuk orang bukan Islam.
“Ini adalah teguran kepada penganut 5 kali syaitan, geng belacan, geng celup, geng sunat, geng main kambing, jangan kamu menghina agama bukan Islam. Anak jantan tulen tunjuk muka, berani kerana benar. Suara rakyat lawan tetap kami lawan,” dakwanya. – UTUSAN











