GEORGE TOWN : Polis akan menghantar pasukan peronda bagi memantau keadaan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Bagan Ajam yang menjadi sesak akibat tindakan orang ramai meletakkan kenderaan sehingga ke tengah lebuh raya itu.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, buat masa ini, polis bagaimanapun masih belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian tersebut.
“Kita akan ambil tindakan (jika perlu) bagi memastikan keselesaan pengguna jalan raya (yang lain).
“Kita juga akan hantar pasukan untuk menjalankan pemeriksaan secara berkala di kawasan tersebut. Sekarang memang menjadi ‘trend’ orang ramai untuk berbuka puasa di luar begitu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Menerusi video tular di media sosial itu, orang ramai dilihat meletakkan kereta sesuka hati sehingga ke tengah lebuh raya BORR.
Perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh mereka yang berbuka puasa di kawasan Pantai Bersih yang terletak berhampiran dengan lebuh raya berkenaan.
Disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab itu juga, keadaan di lebuh raya tersebut menjadi sesak akibat laluan kenderaan terhalang oleh kereta-kereta yang diletakkan sesuka hati itu.-UTUSAN










