PNK perlu agresif dalam perniagaan hiliran bantu nelayan - Utusan Malaysia

PNK perlu agresif dalam perniagaan hiliran bantu nelayan

AZRIN Shah Ismail (kiri) menyerahkan replika cek zakat NEKMAT kepada Mansor Yusuf (kanan) disaksikan Muhammad Faiz Fadzil. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mahu Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) lebih agresif bergerak sebagai entiti perniagaan bagi meningkatkan pendapatan nelayan yang rata-ratanya masih dibelenggu masalah kemiskinan.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, tiada alasan untuk PNK tidak terlibat dalam perniagaan kerana LKIM sebagai pemegang taruh sentiasa menyediakan bantuan modal, dana, latihan serta peluang untuk promosi.

Beliau tidak mahu 91 PNK di seluruh negara hanya bergantung kepada keuntungan hasil jualan minyak diesel yang disediakan kerajaan untuk kegunaan nelayan dan bergantung kepada subsidi semata-mata.

Memuatkan artikel berkaitan…

“PNK menguruskan hal ehwal nelayan dan digalakkan ada produk ekonomi sendiri, cuma tidak semua yang aktif.

“Jika ada yang aktif pun, mereka tidak menguasai sektor perikanan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Madani LKIM di sini semalam.

Menurutnya, apa yang dihasratkan LKIM ialah PNK mampu menguasai perniagaan di peringkat hiliran seperti aktiviti pemprosesan dan pemasaran ikan serta hasil laut.

Beliau menjelaskan LKIM juga menyediakan pasar nelayan di mana nelayan boleh menjual terus hasil tangkapan mereka kepada pengguna.

Begitupun, katanya, daripada 137 pasar nelayan seluruh negara, hanya 66 pasar nelayan sahaja yang aktif.

Justeru, beliau mahu PNK memanfaatkan semua kemudahan yang disediakan kerajaan itu untuk lebih aktif dalam perniagaan yang menguntungkan golongan nelayan.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau memberitahu akan memastikan peruntukan RM10 juta yang diterima LKIM untuk membina dan membaik pulih 328 rumah nelayan seluruh negara, akan diagihkan secara adil.

Jelas beliau, sebanyak lima rumah nelayan di Perak akan dibaik pulih menggunakan peruntukan itu bagi tahun ini, manakala peruntukan RM200,000 pula akan dikeluarkan untuk membaik pulih jeti di Sungai Tinggi, Trong.

Pada majlis itu, turut diadakan serahan sumbangan zakat Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) berjumlah RM74,045 kepada Persatuan Nelayan Negeri Perak (PENGGERAK) serta bantuan persekolahan masing-masing bernilai RM15,000 daripada Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM) dan BHPetrol kepada LKIM.

Hadir sama, Ketua Pengarah LKIM, Hamdan Mamat; Pengurus Besar NEKMAT, Azrin Shah Ismail; Pengerusi PENGGERAK, Mansor Yusuf serta Ketua Pegawai Operasi BHPetrol, Fardzi Shah Razali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN