KANGAR: Perlis terus mencatatkan bilangan hari tanpa hujan paling lama berbanding negeri-negeri lain dan sehingga semalam 43 hari tanpa hujan dengan suhu harian mencecah sehingga 37 darjah Celsius.
Jumlah bilangan hari tanpa hujan itu direkodkan di Stesen Meteorologi Pertanian Chuping iaitu antara lokasi titik panas di negeri ini.
Bagaimanapun, Perlis masih berada pada tahap berjaga-jaga susulan suhu maksimum harian sekitar 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Setakat ini, hanya kawasan Pokok Sena, Kedah merekodkan status cuaca panas tahap dua (gelombang haba) apabila suhu maksimum harian mencecah 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Kesan daripada cuaca panas berterusan di negeri ini turut menyebabkan paras air di empangan Timah Tasoh menyusut atau penurunan mencapai tahap 27.98 meter.
Kadar tersebut berkurangan berbanding paras air normal di empangan tersebut yang sepatutnya sekitar 29.1 meter.
Tinjauan di kawasan Chuping juga mendapati pokok-pokok getah dan hasil susu getah di kawasan berkenaan kering sekali gus memberi kesan kepada penoreh selain kebun jagung di situ juga kering serta rosak selain sawah merekah dan kering kontang.
Bomba negeri pula merekodkan 135 kes berkaitan kebakaran terbuka kes menjelang pertengahan Februari.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas Perlis Nature Xplorer (PNX), Syamil Abd. Rahman berkata, Chuping mencatatkan bilangan hari tanpa hujan tertinggi di Malaysia setakat ini dengan suhu sekitar 37 Celsius.
Katanya, meskipun suhu panas tahap dua dicatatkan di daerah Pokok Sena, Kedah yang lebih tinggi dari Chuping berkemungkinan disebabkan oleh beberapa faktor.
“Antaranya faktor berlakunya gelombang haba panas adalah disebabkan sistem tekanan tinggi hanya tertumpu di sesuatu kawasan dengan kurangnya tiupan angin, kesan dari pembakaran terbuka secara meluas dan juga dipengaruhi oleh fenomena El Nino.
“Sebagai perbandingan, daerah Chuping masih memegang rekod sebagai titik terpanas semenanjung Malaysia pada 9 April 1998 di mana ketika itu pembakaran ladang tebu Chuping dilakukan secara meluas bagi proses penanaman semula tebu yang menyebabkan udara menjadi panas dan diseliputi habuk digelar ‘salji hitam’,” ujarnya.
“Selain itu, Perlis ketika ini berada dalam musim angin timur yang menyaksikan tiupan angin sedikit sebanyak mengurangkan sedikit haba di kawasan Chuping itu,” katanya. – UTUSAN











