PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tindakannya mengadakan lawatan ke luar negara adalah untuk membawa masuk pelaburan lebih tinggi demi mengangkat semula ekonomi dan martabat negara.
Dalam hal itu, Perdana Menteri menyatakan kekesalan apabila ada beberapa pihak yang mengkritik usaha itu seolah-olah beliau dan pemimpin negara bersenang-lenang bercuti ke luar negara dengan menggunakan kemudahan kerajaan.
Beliau berkata, pihak-pihak tertentu itu lebih sibuk membicarakan hal remeh tanpa memikirkan bagaimana mahu memainkan peranan untuk membantu negara mencapai kedudukan lebih baik, sedangkan negara kita masih jauh ketinggalan dalam hal-hal yang lebih mendesak seperti trasformasi digital dan transisi tenaga.
“Tentunya saya selaku Perdana Menteri, kita dihujan dengan pelbagai (tohmahan), itu salah guna kuasa, guna wang banyak pergi (luar negara), bersenang guna pesawat kerajaan, pergi cuti luar negara dengan seronok.
“Tak terjawab saya (tohmahan). Tetapi percayalah sepanjang di Jerman lima hari, kedai pun saya tak pergi. Saya tidak ada kerja lain selain dari hotel ke mesyuarat. Ada waktu ruang saya panggil sarjana Islam seluruh Eropah untuk bincang isu Islamofobia.
“Apabila ke luar negara, kita bincang soal pelaburan, tapi balik Malaysia, ada yang bicara soal bak kut teh, buka kantin sekolah bulan Ramadan, itu lebih hangat diperkatakan seolah-olah itu hidup mati maruah kita.
“Saya harap benar masyarakat terutama penjawat awam bantu keluarga kita dan masa depan kita. Saya yakin kalau kita tegas dan terus begini kita boleh capai lebih baik,” katanya ketika berucap dalam perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini. – UTUSAN










