Penyampai berita disiasat dakwa polis kasar, sombong

Penyampai berita disiasat dakwa polis kasar, sombong

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan seorang penyampai berita dan pengacara televisyen yang  menyifatkan tindakan anggota polis sebagai kasar, sombong dan tidak profesional ketika menjalankan tugas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dakwaan lelaki berusia 30-an itu diterbitkan dalam sebuah akhbar tempatan, semalam. 

Menurut beliau, pengadu iaitu seorang anggota polis berusia 42 tahun menerima pautan laporan berkenaan pada 12.30 tengah hari, semalam ketika berada di Pejabat Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

“Pengadu mendapati laporan itu adalah mengenai pemeriksaan dijalankannya terhadap seorang lelaki tempatan pada pada pukul 1.30 pagi di kawasan perumahan USJ 9, di sini, pada 13 Mac lalu.

“Selepas membaca laporan itu, pengadu mendapati dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan menjatuhkan imej PDRM  khususnya Polis Daerah Subang Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Wan Azlan berkata, lelaki itu juga mendakwa dia tidak dibenarkan bertanya dan tidak ada permohonan maaf dibuat terhadapnya selepas pemeriksaan dilakukan.

Jelasnya, pemeriksaan dilakukan oleh pengadu terhadap lelaki terbabit adalah mengikut undang-undang dan garis panduan ditetapkan.

“Semakan dilakukan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan laporan polis dibuat selepas pemeriksaan itu.

“Lelaki terbabit akan dipanggil untuk memberi keterangan minggu depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 589),” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai supaya lebih prihatin dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam usaha mencegah jenayah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah dan salah laku pihak polis boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 untuk tindakan lanjut,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya