Penumpang cerita bas seperti tergelincir sebelum terbalik

Penumpang cerita bas seperti tergelincir sebelum terbalik

SEBUAH bas persiaran terbalik mengakibatkan dua penumpang maut 13 cedera termasuk dua parah di Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur (hala ke Timur) berdekatan Hentian Rehat Lentang di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Mangsa kejadian bas persiaran terbalik menceritakan detik cemas kenderaan membawa 20 penumpang tersebut terseret dalam kemalangan di kilometer 51.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, dua penumpang maut manakala 13 lagi cedera dengan dua daripadanya parah.

Mangsa kemalangan, Muhammad Rafiq Qayyim Mohd. Zaidi, 20, berkata, ketika kejadian rata-rata penumpang sedang nyenyak tidur dan apabila tersedar dia merasakan bas seperti tergelincir sebelum mendengar dentuman kuat.

“Kejadian terlalu pantas dan saya hanya sedar terhantuk di lampu bas dan masa itulah saya dengar suara jeritan penumpang lain.

“Saya bergegas bangun dan mencari selipar serta beg, namun beg saya tersepit dan terpaksa ditinggalkan sebelum saya keluar daripada bas,” katanya di sini semalam.

MUHAMMAD Rafiq Qayyim Mohd. Zaidi mengalami kecederaan di bahagian tangan, lengan dan belakang serta sakit dada.

Tambah Muhammad Rafiq Qayyim, akibat kejadian itu dia mengalami kecederaan ringan di bahagian lengan dan tangan kanan serta belakang, selain mengalami sakit di bahagian dada.

Penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Selangor itu berkata, semasa kejadian dia bersama seorang rakannya mahu pulang ke rumahnya di Kuantan.

“Ini kali pertama saya menggunakan perkhidmatan bas ini dan saya tidak sangka terbabit dalam kemalangan namun bersyukur masih selamat,” katanya.

Sementara itu seorang pelancong England dikenali sebagai David berkata, dia berasa bertuah kerana terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan pada kaki.

Katanya yang baru dua hari tiba di negara ini, semasa kejadian dia sedang nyenyak tidur dan hanya tersedar apabila tercampak keluar daripada bas berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, mangsa yang maut dalam kejadian tersebut merupakan lelaki warganegara asing dan seorang wanita tempatan.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, bas persiaran berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

“Siasatan awal mendapati bas berkenaan hilang kawalan lalu terbalik dan melintang di atas jalan yang semasa kejadian keadaan jalan adalah basah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×