IPOH: Pengerusi sebuah koperasi dan anak lelakinya ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan kes salah guna jawatan untuk mendapatkan projek.
Perintah tahanan reman sehingga 31 Mac depan dikeluarkan Majistret ‘Atifah Hazimah Wahab di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap lelaki berusia 68 dan 46 tahun itu.
Tempoh reman itu dipohon bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas dua beranak itu mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Kedua-dua lelaki itu ditahan semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak di Bandar Meru Raya di sini.
Terdahulu, dua beranak itu tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 10.20 pagi dengan berpakaian lokap SPRM sebelum dibawa keluar pada pukul 10.45 pagi.
Menurut sumber, lelaki terbabit yang merupakan pengerusi koperasi dan anaknya yang juga pegawai khas projek telah menggunakan jawatan mereka untuk mempengaruhi ahli-ahli lembaga koperasi dengan memilih syarikat dimiliki anaknya sendiri bagi kerja-kerja pengusahasilan hutan di Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Perak.
Difahamkan, projek itu membabitkan nilai pelaburan berjumlah RM700,000.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan. – UTUSAN










