Pengeluaran beras di Sabah akan menurun tahun depan

Pengeluaran beras di Sabah akan menurun tahun depan

JEFFREY Kitingan (tengah) semasa sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Sumber Air Negeri Sabah di Kota Kinabalu, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pengeluaran beras putih tempatan di negeri ini dijangka akan menurun pada tahun depan susulan beberapa kawasan penanaman padi mula terjejas akibat Fenomena El-Nino.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, pada masa ini seluas 2,478 hektar kawasan penanaman padi di Sabah mula terjejas berikutan sistem pengairan yang berhadapan massalah kekurangan air.

Pada masa ini sebahagian padi telah matang dan sedia untuk dituai namun, bagi tanaman padi baharu untuk pengeluaran beras pada tahun depan, ia dijangka akan menurun.

Namun, beliau belum pasti berapa peratus pengurangan keluaran beras putih tempatan pada tahun depan.

“Pada masa ini kawasan penanaman padi yang terjejas teruk akibat kemarau adalah Keningau yang melibatkan kawasan seluas 2,275 hektar. Maka, usaha perlu diambil dengan mengepam air sungai untuk disalurkan ke kawasan penanaman padi.

“Selain Keningau, daerah-daerah lain yang turut terjejas adalah Kota Belud, Papar dan Membakut,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sumber Air Negeri Sabah di Wisma Pertanian, hari ini.

Pada masa ini, tahap sara diri (SSL) beras Sabah hanya 22 peratus dengan pengeluaran kira-kira 30,000 metrik tan setahun. Namun, Sabah mengimport sebanyak 290,000 metrik tan beras setahun.

Sementara itu katanya, kerajaan juga akan mewartakan sumber-sumber air terutama kawasan loji rawatan air (LRA) di tujuh daerah di Sabah untuk dijadikan kawasan perlindungan dalam masa terdekat.

Ketika ini, terdapat 89 loji di seluruh Sabah yang berada di Penampang, Tuaran, Papar, Kudat, Tawau, Sandakan, Semporna dan Tambunan. Daripada jumlah itu, enam loji berada dalam keadaan kritikal akibat kehabisan air atau masalah lain.

Maka usaha sedang diambil bagi memastikan kawasan menempatkan sumber air tidak diganggu oleh sebarang aktiviti biarpun ia berada di luar taman negara atau kawasan hutan simpan.

“Pewartaan itu adalah langkah untuk memelihara sumber air sedia ada bagi jangka masa yang panjang.

“Dalam pada itu, ada juga cadangan membina telaga tiub bagi membolehkan air dipindahkan dari satu kawasan ke kawasan lain dengan menggunakan saluran paip atau melalui lori-lori penghantaran,” katanya.

Malah, terdapat juga cadangan dikemukakan dalam mesyuarat untuk mengambil air banjir untuk ditempatkan di kolam simpanan air tepi pantai untuk kegunaan pada musim kemarau. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×